DUNIA

Timor-Leste Hasrat Hantar 300 Pelajar Ke Malaysia

30/08/2024 05:22 PM

Oleh Mohd Iswandi Kasan Anuar

JAKARTA, 30 Ogos (Bernama) -- Timor-Leste merancang untuk menghantar 300 pelajar ke Malaysia dalam tempoh lima tahun akan datang untuk menyambung pendidikan di institusi pendidikan tinggi awam dan swasta, dengan sokongan daripada Education Malaysia Global Services (EMGS).

Ketua Pegawai Eksekutif EMGS Novie Tajuddin, berkata sebagai permulaan 31 pelajar tajaan Dana Pembangunan Modal Insan Timor-Leste (HCDF) akan memulakan pengajian sarjana dan pascasiswazah pada November ini.

"Universiti Teknikal MARA (UniKL) pula mengumumkan akan menganugerahkan 50 biasiswa kepada pelajar dari Timor-Leste untuk belajar di Malaysia,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Pada Khamis, EMGS dan HCDF menandatangani memorandum persefahaman (MoU) untuk memudahkan proses kemasukan pelajar berkenaan.

Acara pemeteraian MoU disaksikan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, yang dalam lawatan rasmi ke Timor-Leste dari 28 hingga 30 Ogos.

Perjanjian itu menggariskan kerjasama dalam mengurus dan menyokong penerima biasiswa dari Timor-Leste, termasuk permohonan visa, persediaan sebelum berlepas, dan penempatan universiti.

"MoU ini bakal meningkatkan lagi peluang institusi pengajian tinggi Malaysia untuk menerima pelajar dari Timor-Leste sekali gus menambah bilangan pelajar antarabangsa di Malaysia,” katanya.

Novie berkata pihaknya melancarkan Persatuan Alumni Malaysia yang pertama di Timor-Leste. 

Kerajaan melalui EMGS, menyediakan pembiayaan awal US$2,000 untuk persatuan alumni, yang berperanan mempromosikan pendidikan tinggi Malaysia kepada masyarakat setempat, tambahnya.

Pada acara itu, Universiti Malaysia Sabah dan Universiti Kebangsaan Timor-Leste turut menandatangani MoU untuk mengukuhkan kerjasama, bertujuan meningkatkan aktiviti akademik, penyelidikan dan latihan antara kedua-dua institusi.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan