EKONOMI

MOT Bekerjasama Dengan Syarikat Penerbangan Lain, Kekalkan Kekerapan Penerbangan -- Loke

03/09/2024 09:25 PM

SEPANG, 3 Sept (Bernama) -- Kementerian Pengangkutan (MOT) akan bekerjasama dengan syarikat penerbangan lain bagi mengekalkan atau menambah kekerapan penerbangan mereka.

Ini berikutan langkah diambil Malaysia Aviation Group (MAG) yang dilaporkan akan mengurangkan rangkaian penerbangan mereka untuk sementara waktu bermula September hingga Disember 2024.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata langkah yang diambil MAG adalah satu keperluan untuk syarikat itu mengatasi isu-isu teknikal yang berlaku.

"Seperti yang saya terangkan, ini adalah satu langkah drastik yang diambil oleh pihak MAG, bukan mereka suka-suka mengambil langkah ini (tetapi) oleh sebab banyak isu-isu teknikal yang melanda, mereka terpaksa mengambil langkah ini untuk mengurangkan penerbangan dalam beberapa bulan ini, supaya mereka boleh memastikan pesawat-pesawat ini dihantar untuk penyenggaraan dan sebagainya.

"Kita juga menjangkakan ada pesawat-pesawat baharu yang akan tiba dalam masa satu atau dua bulan lagi.

“Jadi ini (pengurangan rangkaian penerbangan) hanya langkah sementara, ia bukan langkah kekal tetapi hanya langkah sementara untuk beberapa bulan," katanya kepada media selepas merasmikan pembukaan Capsule Transit MAX, di sini hari ini.

Loke berkata dalam masa sama orang ramai boleh mendapatkan tiket penerbangan dari syarikat penerbangan lain seperti AirAsia, Batik Air dan sebagainya.

Sebelum ini, Pengarah Urusan Kumpulan MAG Datuk Kapten Izham Ismail dilaporkan berkata MAG mengalami cabaran kekurangan tenaga kerja mahir selepas banyak pemain tempatan serta antarabangsa baharu dalam bidang penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) mula memasuki pasaran Malaysia.

Dalam usaha menangani isu tersebut, kumpulan itu bekerjasama dengan rakan kongsi bagi menambah tenaga kerja kejuruteraan mahir termasuk menambah baik pakej imbuhan.

MAG juga sedang berusaha untuk menyediakan opsyen pampasan kepada pelanggan yang terjejas termasuk pengagihan semula penerbangan dan bayaran balik penuh tanpa caj penalti.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan