AM

Tiga Doktor Ditahan SPRM, KKM Sedia Beri Kerjasama Penuh

04/09/2024 10:48 AM

PUTRAJAYA, 4 Sept (Bernama) -- Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sedia memberi kerjasama sepenuhnya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung siasatan terhadap tiga doktor kanan yang ditahan agensi penguat kuasa itu di Pulau Pinang baru-baru ini.

KKM dalam kenyataan hari ini memaklumkan pihaknya mengambil maklum akan penahanan tiga doktor kanan kerana didakwa mempunyai kaitan dengan kartel yang memalsukan tuntutan hilang upaya Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

"KKM sentiasa bersedia untuk memberikan kerjasama sepenuhnya kepada SPRM berhubung penahanan tiga doktor awam berkenaan. 

"Di samping itu, kementerian ini ingin menegaskan bahawa ia tidak akan bertolak ansur dengan sebarang elemen penyelewengan kuasa oleh warga KKM serta tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan yang sewajarnya bagi memastikan perkhidmatan kesihatan awam sentiasa berada pada tahap yang terbaik," kata kenyataan itu.

Semalam, Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki mengesahkan dua pegawai perubatan kanan hospital kerajaan dan seorang doktor pakar hospital swasta antara 32 individu yang ditahan di Pulau Pinang bagi membantu siasatan berhubung kartel yang dikatakan telah memalsukan tuntutan hilang upaya PERKESO di negeri itu.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan