JENAYAH & MAHKAMAH

Pengarah Syarikat Pembinaan Didenda Kemuka Dokumen Palsu

04/09/2024 08:53 PM

JOHOR BAHRU, 4 Sept (Bernama) -- Mahkamah Sesyen di sini hari ini mendenda seorang pengarah syarikat pembinaan RM31,000, setelah mengaku bersalah atas empat pertuduhan mengemukakan dokumen mengandungi maklumat palsu berkaitan permohonan Insentif Pengambilan Pekerja PERKESO membabitkan jumlah RM62,120, tiga tahun lepas.

Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail menjatuhkan hukuman itu terhadap A Mohana Sundharam, 35, yang juga pemimpin muda sebuah parti politik di Johor dan memerintahkan lelaki berkenaan dipenjara tiga bulan bagi keempat-empat pertuduhan, jika gagal membayar denda itu.

Pada 14 Nov 2023, Mohana Sundharam dan seorang bekas pengarah syarikat import eksport P Poowesna, 36, mengaku tidak bersalah atas empat pertuduhan mencapai niat bersama memberikan satu dokumen iaitu Borang Pengesahan Pekerja program insentif itu atas nama perusahaan TMB Resources, bagi menuntut insentif di bawah Program Penjana Kerjaya 2.0 Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) keseluruhan berjumlah RM62,120.

Bekas suami isteri itu didakwa mengemukakan dokumen berkenaan kepada pegawai PERKESO dengan niat hendak memperdaya agensi berkenaan dan mereka tahu dokumen tersebut mengandungi pernyataan palsu mengenai nama pekerja baharu melibatkan 10 penama yang bukan pekerja syarikat berkenaan, dan ia dibuat dengan maksud mengelirukan PERKESO. 

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Bahagian Perkhidmatan Pekerjaan PERKESO di sini pada 30 Mei 2021.

Pendakwaan mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24(2) akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda sehingga lima kali ganda jumlah yang terbabit atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Nur Zahida Muhammad Ruzi dan Pegawai Pendakwa SPRM Rais Adha Ramli, manakala peguam Abdul Rahim Ali mewakili Mohana Sundharam.

Pada 10 Julai, Poowesna mengaku bersalah atas empat pertuduhan tersebut dan didenda RM21,000 atau penjara sebulan bagi kesemua pertuduhan jika gagal membayar denda itu. 

Mohana Sundharam pula tidak hadir pada prosiding tersebut, kerana mendapat cuti sakit daripada hospital swasta akibat keracunan makanan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan