JENAYAH & MAHKAMAH

Pesara Jururawat Rugi Lebih RM1.9 Juta Terperdaya Pelaburan Tidak Wujud

04/09/2024 11:14 AM

ALOR SETAR, 4 Sept (Bernama) -- Seorang pesara jururawat berusia 76 tahun kerugian lebih RM1.9 juta akibat terperdaya dengan pelaburan tidak wujud.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah Supt Loi Yew Lik berkata Balai Polis Jitra menerima satu laporan berkaitan kes itu pada 12.37 tengah hari semalam. 

"Wanita yang sebelum ini bekerja di Sydney, Australia dan masih bujang menyatakan melihat satu pelaburan yang diiklankan melalui laman YouTube.

“Mangsa kemudian berurusan dengan wakil syarikat dan diterangkan mengenai pelaburan itu melalui kelas dalam talian oleh syarikat itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata wanita terbabit membuat bayaran modal berjumlah RM100,000 pada 17 Jun lepas dan setelah itu membuat bayaran lagi menerusi 19 transaksi ke pelbagai akaun bank yang diberikan hingga berjumlah lebih RM1.9 juta.

Loi berkata mangsa telah dijanjikan akan mendapat keuntungan dalam tempoh sebulan dan dia kemudian menyedari ditipu kerana masih tidak menerima sebarang pulangan dijanjikan.

"Siasatan mendapati pelaburan berkenaan adalah palsu dan menggunakan nama pelaburan 'Capital Dynamic' yang merupakan syarikat pelaburan antarabangsa,” katanya sambil menambah kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan