EKONOMI

Labuan FSA Pertingkat Usaha Perangi Skim Pelaburan Meragukan, Penipuan

03/09/2024 04:16 PM

LABUAN, 3 Sept (Bernama) -- Pihak Berkuasa Perkhidmatan Kewangan Labuan (Labuan FSA) mempertingkatkan usaha memerangi skim pelaburan yang meragukan dan penipuan pelaburan asing.

Labuan FSA juga giat menasihatkan orang ramai supaya kekal berwaspada kerana skim itu sering memperdayakan mangsa dengan janji pulangan yang menarik.

Berdasarkan laporan media baru-baru ini, satu skim pelaburan pertukaran mata wang asing yang besar didakwa telah menipu kira-kira 400 individu, menyebabkan kerugian keseluruhan sekitar RM100 juta, jelasnya dalam kenyataan kepada Bernama pada Selasa.

Sehubungan itu, agensi tersebut menekankan keperluan mendesak untuk meningkatkan kesedaran dan penilaian dengan teliti dalam kalangan pelabur.

“Labuan FSA amat menasihatkan pelabur supaya memeriksa dengan teliti kesahihan mana-mana peluang pelaburan, terutama yang kelihatan terlalu bagus untuk menjadi kenyataan.

“Labuan FSA mencadangkan agar pelabur kerap melawat laman webnya untuk kemas kini terkini mengenai Senarai Amaran Pelabur dan Notifikasi Sekatan Perniagaan sebelum membuat keputusan kewangan,” menurutnya.

Sebagai badan pengawalseliaan, penyeliaan dan penguatkuasaan berpusat bagi Pusat Perniagaan dan Kewangan Antarabangsa Labuan (Labuan IBFC), Labuan FSA komited untuk mengekalkan integritinya.

“Labuan FSA mempunyai kuasa penuh untuk mengawasi industri perniagaan dan perkhidmatan kewangan antarabangsa di Labuan di samping komited untuk melaksanakan tindakan penguatkuasaan yang tegas terhadap sebarang pelanggaran undang-undang dan garis panduan di bawah bidang kuasanya.

“Tindakan penguatkuasaan sebelum ini adalah berbeza-beza bergantung kepada jenis pelanggaran termasuk pengenaan denda kewangan, sekatan perniagaan, pembatalan lesen, dan penyingkiran pegawai yang tidak layak atau tidak wajar daripada entiti Labuan,” tambahnya.

Labuan FSA menjelaskan pendekatan ketat itu akan diteruskan dengan penyesuaian yang diperlukan sejajar dengan piawaian pengawalseliaan global semakin berkembang.

Labuan FSA mengeluarkan butiran tindakan penguatkuasaan menerusi laman webnya untuk meningkatkan keyakinan awam terhadap Labuan IBFC.

Agensi kawal selia itu turut meningkatkan usaha penyeliaan termasuk pemeriksaan di lokasi dengan lebih kerap, keperluan pelaporan yang dipertingkatkan, serta kerjasama lebih rapat dengan badan pengawalseliaan lain.

Langkah itu bertujuan memperkukuh daya tahan dan integriti Labuan IBFC serta melindungi kepentingan semua pihak berkepentingan, menurutnya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan