AM

Formula Khusus Percepat Proses Tentukan Kadar Nafkah Anak - Mohd Na’im

06/09/2024 01:22 AM

SHAH ALAM, 5 Sept (Bernama) -- Kerajaan bersedia untuk mewujudkan formula khusus yang boleh diguna pakai oleh semua Mahkamah Syariah dalam menentukan kadar perintah nafkah anak kepada ibu bapa yang bercerai.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata dengan adanya formula itu, proses penentuan kadar nafkah yang sering menjadi perdebatan sebelum ini dapat diatasi sekali gus mempercepat proses hak nafkah sampai kepada anak-anak terbabit. 

“Di negara luar, mereka ada formula khusus yang dibangunkan bagi tentukan kadar nafkah anak, bermakna apabila berlaku kes penceraian, kadar itu akan diguna sebagai panduan.

“Dengan formula itu, tempoh masa untuk tentukan kadar nafkah yang akan diterima dapat diputuskan dengan lebih cepat tanpa perlu melalui proses mediasi yang biasanya memakan masa yang panjang,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menutup Persidangan Antarabangsa Undang-Undang Keluarga (ICFL) 2024 bertemakan “Memperkasakan Hak Nafkah Anak” di sini hari ini.

Mohd Na’im berkata amalan itu adalah berbeza berbanding Malaysia iaitu mahkamah masih perlu melalui prosedur mendengar keterangan bapa, isteri dan anak dan proses itu sahaja mengambil masa berbulan-bulan selain ada kalanya disalah guna untuk memanjangkan kes tuntutan nafkah.

Beliau berkata bagi negara luar, mahkamah menurunkan kuasa kepada sebuah agensi khusus yang akan menjalankan tugas pentadbiran bagi menentukan jumlah, kadar, kutipan dan penguatkuasaan perintah nafkah.

“Perkara yang dilaksanakan di negara barat ini ada dikongsi dalam ECFL dan juga dimasukkan sebagai antara resolusi persidangan…saya harap Bahagian Sokongan Keluarga (BSK) Jabatan Kehakiman Syariah dapat pelajari dan tambah baik mengikut kesesuaian di sini,” katanya.

Ditanya sama ada terdapat keperluan untuk memanjangkan tempoh penjara maksimum 30 hari yang dikuatkuasakan kepada bapa yang ingkar perintah nafkah ketika ini, Mohd Na’im berkata: “peruntukan undang-undang itu adalah memadai buat masa ini”.

Beliau berkata bapa yang culas memberikan nafkah seperti diarahkan mahkamah dan dipenjara biasanya akan ‘menyerah’ dan ‘berputus asa’ selepas sehari atau dua hari di dalam penjara.

"Saya ingat satu kes di depan saya, dia (penculas) ingat duduk di penjara macam duduk di hotel atau apa. Masuk sehari terus setuju bayar tunggakan nafkah untuk segera keluar dari penjara," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan