Di Sabah, kemiskinan tegar bukan sekadar statistik tetapi realiti pahit yang terpaksa dimamah dan ditelan oleh sebahagian besar rakyatnya, baik di kawasan pedalaman ataupun di celah belantara konkrit bandar raya ini.
Pelbagai usaha dan inisiatif dilaksanakan oleh kerajaan negeri dan pusat bagi mengeluarkan golongan ini daripada kedaifan hidup, namun nyata belum lagi membuahkan hasil yang didambakan.
Menurut pakar, perlu ada pendekatan baharu dan di luar kotak bagi menangani isu itu, selain memperkukuhkan lagi kerjasama antara kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan, khususnya di peringkat agensi pelaksana.
Pendekatan yang diambil juga harus mengambil kira perbezaan antara golongan miskin tegar di bandar dan pedalaman kerana masing-masing mempunyai keperluan berlainan.
KOLABORASI
Menurut Prof Madya Dr Syahruddin Awang Ahmad, berdasarkan laporan daripada Survei Pendapatan Isi Rumah (HIS) pada tahun 2022, kadar kemiskinan tegar di Sabah masih tinggi, iaitu 1.2 peratus berbanding kadar nasional 0.2 peratus.
Justeru, katanya, antara perkara pertama yang perlu dilakukan oleh pihak berwajib ialah meningkatkan kecekapan daripada segi pengumpulan data selain mengemas kini maklumat populasi miskin dan miskin tegar supaya perancangan lebih tepat dapat dilakukan.
pic-2
“Agensi berkenaan mempunyai kepakaran dan sumber yang boleh saling melengkapi bagi mencapai matlamat kerajaan menoktahkan penjajahan miskin tegar ini,” kata Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Inovasi) Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Malaysia Sabah itu kepada Bernama.
Menyifatkan hubungan antara agensi kerajaan negeri dan Kerajaan Pusat bagai ‘aur dengan tebing’, Syahruddin berkata, pada masa sama, kolaborasi kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO) di Sabah harus diperkukuh dan diperluas untuk mencari peluang baharu yang boleh membantu golongan miskin tegar mengubah nasib mereka.
Merujuk sektor perusahaan kecil dan sederhana sebagai cara membantu golongan itu, beliau berkata, masih banyak industri dalam sektor tersebut yang masih belum diteroka, antaranya penghasilan bahan mentah untuk makanan ternakan, serta barang keperluan haiwan peliharaan seperti ikan hiasan dan kucing eksotik.
"Peluang pekerjaan baharu seperti pemandu pelancong di kampung-kampung, pengusaha kraf berdasarkan permintaan, dan jurucakap sejarah tempatan juga perlu diwujudkan bagi memberi peluang kepada miskin tegar ini," katanya.
Namun, beliau mengakui bahawa sokongan masyarakat, terutama miskin tegar itu sendiri, terhadap program yang dijalankan oleh kerajaan, agak hambar.
Beliau menegaskan sekiranya kelompok itu sendiri tidak mengoptimumkan inisiatif yang dilaksanakan oleh kerajaan, maka usaha tersebut tidak akan mencapai matlamat yang disasarkan.
"Pendidikan agama dan moral juga perlu diterapkan sebagai sebahagian daripada strategi. Minda yang dipenuhi dengan ilmu keagamaan dan moral lebih mudah menerima maklumat daripada agensi kerajaan," katanya, menambah kempen kesedaran dan motivasi juga penting, terutama dalam kalangan generasi muda.
BERI KESAN OPTIMUM
Pensyarah Kanan Universiti Malaysia Sabah Prof Madya Dr Romzi Ationg pula berpandangan, pelbagai pihak, terutamanya kerajaan banyak merancang dan melaksanakan program untuk menangani masalah miskin tegar ini.
"Namun, ternyata usaha tersebut masih belum mencukupi," kata Romzi.
pic-3
Beliau juga menegaskan perlunya kerjasama kukuh daripada pihak berwajib bersama semua pihak selain tindakan lebih tegas dan aktif bagi mengatasi masalah kemiskinan tegar yang sekian lama membelenggu Negeri di Bawah Bayu ini.
Masalah kemiskinan tegar ini, jelasnya, bukan sahaja di kawasan luar bandar, tetapi kini semakin menghimpit kawasan bandar, justeru strategi penyelesaiannya memerlukan intervensi berbeza.
“Tidak boleh ada satu strategi dilaksanakan untuk semua, perlu spesifik. Jangan ada strategi penyelesaian one size fits all,” katanya.
Beliau berharap pihak berwajib akan memberi tumpuan kepada usaha berfokus di kawasan yang didiami oleh golongan miskin tegar, dengan menyediakan peluang pekerjaan dan perubahan gaya hidup.
“Dana yang mencukupi dan pemantauan tegas juga penting untuk memastikan keberkesanan usaha-usaha ini,” katanya.
Dr Romzi juga menyeru kerajaan untuk memperbanyakkan program dan projek yang lebih berkesan dan semua pihak termasuk miskin tegar itu sendiri perlu dilibat urus bagi memastikan program itu mampu memberi kesan optimum.
“Masih banyak yang perlu dilakukan dan meskipun perjalanan ini panjang, perubahan pasti boleh dicapai dengan komitmen dan kerjasama semua pihak,” katanya.
STRATEGI KHUSUS
Bekas Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal pula menyuarakan kebimbangan mendalam mengenai isu kemiskinan termasuk miskin tegar ini, dengan lapan daripada 10 daerah termiskin di Malaysia terletak di Sabah.
Malah, katanya, banyak keluarga bergelut dengan pendapatan jauh di bawah garis kemiskinan.
pic-4
Menurut beliau, Sabah memerlukan penyelesaian yang mampan dan segera, bukan sahaja untuk membantu ekonomi tetapi juga untuk memastikan keadilan sosial terpelihara.
Kehidupan golongan yang terpinggir ini, tegasnya, perlu ditingkatkan, dan ini memerlukan strategi yang berasaskan data yang tepat dan realistik.
“Masalahnya, cara kita mengumpul data mengenai kemiskinan tegar di Sabah kadangkala tidak menggambarkan realiti sebenar. Di sini bukan luar biasa beberapa keluarga berkongsi satu bumbung kerana kesempitan hidup. Maka perwakilan satu ketua isi rumah mungkin bukan gambaran sebenar,” katanya.
Presiden Parti Warisan itu juga menegaskan definisi kemiskinan tegar di Sabah juga perlu berbeza dari Semenanjung.
“Pendapatan di Sabah sering kali bergantung kepada cuaca, terutama bagi mereka yang terlibat dalam pertanian dan perikanan. Bila cuaca buruk, nelayan tidak dapat ke laut, dan petani pula sukar menuai hasil bila hujan kurang,” katanya.
Bantuan kewangan beberapa ribu ringgit bukanlah penyelesaian jangka panjang, sebaliknya hanya mengekalkan kebergantungan tanpa menyelesaikan masalah pokok kemiskinan. Pendekatan sedemikian tidak ubah seperti menampal luka dengan plaster, tanpa merawat punca sebenar luka itu sendiri.
Selain itu, Mohd Shafie berkata, pengangguran dan kos sara hidup yang tinggi juga memburukkan lagi keadaan. Kadar pengangguran di Sabah adalah yang tertinggi di negara ini, mencapai 8.71 peratus.
“Dengan kos sara hidup yang boleh mencecah tahap kota raya besar, tetapi gaji masih rendah, rakyat Sabah terus dibebani tekanan setiap hari,” katanya.
Beliau turut menegaskan agar pihak yang menjalankan inisiatif menoktahkan kemiskinan tegar perlu lebih fleksibel dan terbuka terhadap maklumat baharu, kerana keputusan yang termaklum hanya boleh dibuat apabila kita benar-benar memahami situasi sebenar.
“Bagi melaksanakan ini, turunlah padang dan lihat sendiri keadaan di sana," katanya.
LUAR BANDAR
Sementara itu, Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah Datuk Jahid Jahim pula menegaskan bahawa kementeriannya tidak lari daripada tanggungjawab untuk memastikan kesejahteraan rakyat Sabah, terutama di kawasan luar bandar dan pedalaman.
Justeru, tahun ini beliau dan kementeriannya bertekad untuk fokus kepada program pembangunan yang betul-betul dapat membantu membasmi kemiskinan terutama miskin tegar di kawasan berkenaan.
pic-5
“Kementerian berusaha untuk memperkuatkan program sedia ada dan memperkenalkan inisiatif baru yang dapat menjana pendapatan untuk komuniti luar bandar. Kita mahu memastikan masyarakat di sana tidak terus terperangkap dalam lingkaran kemiskinan terutama miskin tegar,” katanya.
Menurut beliau, melalui pelan Hala Tuju Sabah Maju Jaya, kementerian itu akan memperhebatkan program Rumah Mesra Sabah Maju Jaya (SMJ) yang bermatlamat menyediakan rumah yang selesa dan selamat bagi penduduk luar bandar, memperbaiki kehidupan mereka daripada segi perumahan.
Kerajaan Negeri juga sudah meluluskan peruntukan untuk membina 20 unit rumah SMJ setiap tahun di 73 kawasan Dewan Undangan Negeri Sabah.
“Ini adalah satu langkah untuk memastikan lebih ramai orang luar bandar mendapat tempat tinggal yang layak,” katanya.
Selain itu, Kementerian Pembangunan Luar Bandar Sabah (KPLBS) terus memperkasakan program pembasmian kemiskinan seperti Program Mini Estet Sejahtera (MESEJ) dan program latihan keusahawanan desa.
KPLBS juga sedang berusaha membangunkan lebih banyak kemudahan untuk perusahaan kecil di kampung-kampung.
Ini termasuk bidang seperti pelancongan desa, seni dan kebudayaan, serta produk kraftangan dan makanan tradisi, yang semuanya mempunyai potensi besar untuk dikembangkan.
pic-6
Membawa Sabah ke arah transformasi digital juga penting dalam usaha tersebut, justeru kerajaan negeri mempercepatkan pembangunan infrastruktur komunikasi di kawasan luar bandar. Usaha ini juga termasuk memperkenalkan program latihan dan kemahiran digital untuk penduduk kampung.
Menurut Jahid, kementerian itu juga membangunkan dua dashboard iaitu Dashboard eKPLBS dan Dasboard Pemantauan Projek untuk meningkatkan keberkesanan kerja mereka dalam memberikan perkhidmatan kepada rakyat memerlukan.
Dashboard eKPLBS memaparkan informasi terkini mengenai perniagaan teras setiap bahagian di kementerian, sementara Dashboard Pemantauan Projek membolehkan pihak pengurusan melihat status projek di daerah.
“Kerajaan Sabah komited untuk merealisasikan konsep smart digital government. Melalui platform teknologi maklumat dan pendigitalan, kita mahu memastikan perkhidmatan kerajaan boleh diakses oleh sesiapa saja, di mana-mana, pada bila-bila masa, dan melalui apa jua peranti mudah alih,” katanya.
“Dayung sudah di tangan, perahu sudah di air”, perancangan telah disusun, justeru usaha untuk mengusir keluar “penjajah” miskin tegar dari bumi Sabah perlu terus diperhebatkan secara tegas dan tuntas.
Disunting oleh Melati Mohd Ariff
Kemiskinan tegar yang membelenggu sebahagian besar rakyat di Sabah memerlukan penyelesaian tuntas agar mereka dapat turut menikmati kemajuan yang dicapai oleh Malaysia setakat ini.
Artikel kedua daripada laporan tiga bahagian mengupas jalan dan pendekatan terbaik bagi "memerdekakan” rakyat Negeri di Bawah Bayu ini daripada “penjajahan” miskin tegar.
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial