BERITA TERGEMPAR   Paris route represents Malaysia Airlines’ 68th destination and will be served by A350-900 aircraft - Capt Izham | 
 AM

Pencemaran Di Kawasan Sungai Pandan Terkawal, Tiada Kes Dimasukkan Ke Hospital

06/09/2024 09:50 AM

JOHOR BAHRU, 6 Sept (Bernama) -- Insiden pencemaran bau yang berlaku di kawasan Sungai Pandan di sini Selasa lepas terkawal dan tidak membabitkan sebarang laporan kes penduduk dimasukkan ke hospital, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Beliau berkata hingga kini isu pencemaran bau itu hanya membawa kesan terhadap mangsa dengan gejala seperti batuk, pening kepala, kerengsaan atau loya.

“Mengenai isu pencemaran bau itu, saya difahamkan memang ada berlaku tetapi terkini semuanya terkawal dengan paras gas ammonia yang dikesan juga sudah kembali kepada base line.

“Tidak ada kes pelajar dimasukkan ke hospital. Mengikut apa yang dilaporkan hanya ada yang mengalami kerengsaan dan batuk-batuk. Bagaimanapun, kita akan sentiasa pantau dengan Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Exco negeri,” katanya pada sidang media selepas mengadakan Program Walkabout Premis Bersih, Bebas Asap di Jalan Dhoby di sini malam tadi.

Turut hadir Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam) Datuk Dr Norhayati Rusli, Pengarah Kesihatan Negeri Johor Dr Mohtar Pungut@Ahmad dan Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Ling Tian Soon.

Sementara itu, Ling berkata pihaknya sedang menunggu laporan hasil analisis mengenai kandungan bungkusan yang tidak dikenal pasti ditemukan di tebing anak Sungai Pandan berhampiran Taman Daya semalam.

Selasa lepas, satu pencemaran bau yang kuat dilaporkan berlaku di tiga kawasan membabitkan Taman Daya, Taman Mount Austin dan Taman Istimewa di sini.

JAS Johor dilaporkan mengesan kehadiran gas ammonia tinggi melebihi tahap normal di kawasan Sungai Pandan di Kampung Melayu Pandan di sini.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan