BERITA TERGEMPAR   Paris route represents Malaysia Airlines’ 68th destination and will be served by A350-900 aircraft - Capt Izham | 
 AM

PETRONAS BeDigital Bootcamp Di Wilayah Selatan Buka Peluang Pelajar Teroka Alam Digital

06/09/2024 10:22 AM

MELAKA, 6 Sept (Bernama) -- Seramai 100 pelajar tahun akhir dari lima universiti awam di wilayah selatan berpeluang meningkatkan kemahiran dalam bidang digital apabila terpilih menyertai PETRONAS BeDigital Bootcamp yang diadakan selama 12 hari di sini.

Naib Presiden Kanan Pelaksanaan Projek dan Teknologi PETRONAS Mohd Yusri Mohamed Yusof berkata program yang julung kali diadakan di wilayah selatan semenjak dilancarkan pada  2022 itu merupakan usaha berterusan syarikat minyak dan gas multinasional berkenaan dalam membangunkan modal insan selaras dengan matlamat ekonomi digital negara.

"Objektif utama program selama 12 hari ini adalah untuk membantu pelajar universiti tahun akhir khususnya, bersedia sebelum memasuki alam pekerjaan yang kini menjurus ke arah digital.

"Jadi ada kepentingan yang kami rasakan untuk pertingkatkan lagi keupayaan dan kemahiran mereka sebagai persediaan menghadapi realiti bidang perkerjaan berkaitan digital dan informasi maklumat," katanya pada Majlis Penutupan PETRONAS BeDigital Bootcamp: Memperkasa Kemahiran Digital Dalam Kalangan Pelajar di Wilayah Selatan di Ayer Keroh di sini.

Mohd Yusri berharap program BeDigital Bootcamp di wilayah selatan mampu membantu bakal graduan dari Universiti Teknikal Malaysia Melaka, Universiti Teknologi Malaysia, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia, Universiti Teknologi MARA Cawangan Johor dan Melaka menguasai kemahiran teras digital, keusahawanan digital, asas kerjaya serta pemikiran reka bentuk serta memupuk komuniti pemimpin tekno-digital yang berfikiran ke hadapan.

Beliau berkata setakat ini 762 pelajar daripada 22 universiti telah mendapat manfaat daripada program tersebut.

"Untuk lokasi terakhir program pada tahun ini, ia akan diadakan di wilayah utara dengan 100 lagi peserta akan dipilih dari universiti tempatan. Sudah tentu kita akan sentiasa menambah baik program ini dengan mengadakan perbincangan bersama rakan strategik termasuk menambah jumlah rakan kongsi syarikat yang berminat serta mempunyai peluang pekerjaan," katanya.

Sementara itu peserta perempuan terbaik, Aleeyah Nur Sabrina Dzuren, 23, berkata program itu telah membuka minda dan mengubah dirinya ke arah lebih berkemahiran dalam bidang digital.

"Saya juga melihat peserta lain berjaya keluar dari zon selesa mereka dan sudah tentu program ini memberi peluang kepada kami  mendapat pengalaman yang luar biasa terutama dalam sesi temuduga, membuat CV dan pendedahan kepada AI (kecerdasan buatan)," kata pelajar dari UTM, Skudai, Johor itu.

Sementara itu peserta lelaki terbaik Khairul Irfan Mohamed Ismail, 24, berkata BeDigital Bootcamp menjadi peluang terbesar untuk menimba ilmu terutama dalam mempertingkatkan kemahiran teknikal dan insaniah yang boleh dijadikan persediaan sebelum melangkah ke alam pekerjaan sebenar.

"Program ini juga memberikan peluang untuk kami bekerja dengan syarikat-syarikat besar. Modul-modul yang dijalankan amat berkait rapat dengan latar belakang pendidikan saya seperti keselamatan siber dan AI," kata pelajar tahun akhir bidang sains komputer itu.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan