AM

Maxis Bersedia Percepat Penerimagunaan Awan Untuk Perniagaan Dengan AWS Region Di Malaysia

06/09/2024 07:58 PM

KUALA LUMPUR, 6 Sept (Bernama) -- Maxis, penyedia telekomunikasi bersepadu terkemuka Malaysia bersedia untuk mempercepatkan penerimagunaan awan dalam perniagaan di Malaysia, dengan memanfaatkan infrastruktur Amazon Web Services (AWS) Region yang baru dilancarkan di negara ini.

Maxis dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan menerusi Maxis Business, bahagian perniagaan perusahaan Maxis, pelanggan kini boleh memanfaatkan keupayaan awan dengan lebih yakin, kerana residensi data tempatan akan membolehkan migrasi data dan beban kerja mereka ke awan secara lancar dan selamat.

“Dengan mengutamakan residensi data, Maxis memberikan perniagaan keyakinan kerana data mereka disimpan dan diuruskan dalam Malaysia, menawarkan bukan sahaja pematuhan kawal selia tetapi juga keselamatan yang dipertingkatkan dan kadar pendam yang dikurangkan.

“Infrastruktur tempatan, membolehkan operasi awan yang lebih cepat dan dipercayai, memberikan perniagaan di Malaysia keupayaan untuk memanfaatkan pelbagai penggunaan canggih seperti kecerdasan buatan (AI), AI generatif, dan analitik berskala besar.

Ketua Pegawai Eksekutif Maxis Goh Seow Eng berkata Maxis komited untuk mendorong penggunaan awan merentas sektor swasta dan awam, bagi memacu ekonomi negara.

“Penubuhan AWS Region di negara ini akan memangkin penerimagunaan digital, kerana pelanggan akan mendapat manfaat boleh skala lebih besar serta keselamatan daripada kedaulatan data tempatan.

“Bersama AWS, kami berharap akan dapat membantu lebih banyak perniagaan pelbagai saiz di Malaysia, memanfaatkan kuasa pengkomputeran awan sebagai rakan niaga digital pilihan mereka,” katanya.

Menurut kenyataan itu sebagai satu-satunya syarikat telekomunikasi di Malaysia yang memegang status AWS Advanced Tier Services Partner dan AWS Direct Connect Partner, Maxis mempunyai kelebihan dengan pengalaman pelanggan yang terbukti untuk membantu migrasi perniagaan ke awan.

Kenyataan Maxis itu memaklumkan bagi menyokong pelancaran AWS Region baru-baru ini, Maxis Business kini menawarkan program Cloud Mover tersendiri untuk memacu migrasi awan kepada lebih banyak perniagaan di Malaysia.

“Di bawah program Cloud Mover Maxis, yang tersedia sehingga 30 Nov 2024, pelanggan yang memilih Maxis Business untuk beralih ke awan, akan mendapat manfaat daripada migrasi percuma dan sehingga RM10,000 dalam bentuk kredit  untuk enam bulan Direct Connect,” menurut kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu sebagai AWS Advanced Tier Services Partner, Maxis mempunyai pasukan pakar berkelayakan tinggi dan diperakui, yang boleh menasihatkan pelanggan mengenai pelbagai keperluan data dan awan mereka.

Kenyataan itu memaklumkan kepakaran Maxis turut merangkumi semakan berdasarkan AWS Well-Architected Framework, yang bertujuan membantu pelanggan membina infrastruktur yang cekap, selamat, dan berdaya tahan bagi memenuhi keperluan semasa dan masa depan mereka.

“Tambahan pula, sebagai sebuah AWS Direct Connect Partner, Maxis boleh melengkapi pelanggan dengan ketersambungan rangkaian persendirian langsung ke persekitaran awan AWS, dengan kadar pendam rendah. Selain memperkukuh daya tahan dan keselamatan, kesalinghubungan langsung membolehkan pengoptimuman berterusan merentas persekitaran rangkaian dan awan pelanggan.

“Keupayaan ini melengkapkan perkhidmatan rangkaian terurus end-to-end Maxis Business, yang memudahkan pelanggan dalam mengguna pakai dan menguruskan penyelesaian ketersambungan dan digital,” menurut kenyataan itu.

Perkhidmatan terurus tersebut termasuklah keselamatan siber, awan, rangkaian persendirian dan Internet kebendaan (IoT), serta penyelesaian kesalinghubungan tetap dan mudah alih dengan terkini Maxis telah menambah unit pemprosesan grafik-sebagai-perkhidmatan (GPUaaS) kepada portfolio mereka.

Baru-baru ini, Maxis memperkenalkan platform semua dalam satu pertama di Malaysia, untuk rangkaian 5G, pengkomputeran pinggir, awan dan perkhidmatan, Maxis komited untuk memperkenalkan penggunaan inovatif dikuasakan 5G-Advanced (5G-A) dan 5G, untuk mempercepat penerimagunaan digital di pelbagai sektor serta penyelesaian Bandar Pintar 5G-A.

Kerjasama jangka panjang Maxis dengan AWS bermula pada 2019, apabila Maxis menyertai AWS Partner Network dan menjalin kerjasama strategik dalam penyampaian teknologi awan.

Awal tahun ini, Maxis telah mempertingkatkan kerjasamanya dengan AWS, dengan tujuan mempercepatkan inovasi dalam bidang dinamik AI generatif dan kes penggunaan 5G untuk perniagaan Malaysia.

Untuk maklumat lanjut, sila layari www.business.maxis.com.my/en/campaign/aws-cloud-mover-program/

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan