SUKAN

WSC 2024: 15 Belia Berlepas Ke Lyon, Buru Emas Buat Malaysia

06/09/2024 09:13 PM

SEPANG, 6 Sept (Bernama) -- Seramai 15 belia berkemahiran tinggi Malaysia berlepas ke Lyon, Perancis hari ini untuk menyertai pertandingan WorldSkills 2024 (WSC 2024) yang akan bermula pada 10 hingga 16 Sept ini.

WSC 2024 mempertandingkan sebanyak 62 bidang kemahiran dengan Malaysia menyertai 14 bidang kemahiran antaranya Robot System Integration, IT Software Solution for Business, Heavy Vehicle Technology dan Digital Construction.

Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) Datuk Azman Mohd Yusoff berkata semua peserta dan pakar negara diharap dapat memberikan komitmen terbaik dan menunjukkan prestasi cemerlang bagi mengharumkan nama negara di peringkat dunia. 

“Aspek kemahiran teknikal, pengetahuan, kekuatan mental, kecerdasan emosi serta keselamatan dan kesihatan peserta perlu diberi penekanan sepanjang pertandingan,” katanya ketika berucap pada majlis pelepasan kontinjen negara ke WSC 2024 di sini hari ini. 

Beliau berharap agar peserta negara akan mempersembahkan kemahiran yang terbaik bagi mendapatkan pingat emas pertama untuk negara.

“Saya juga ingin mengingatkan peserta bahawa kemenangan tidak hanya dilihat dari sudut pertandingan semata-mata, tetapi juga dari perkembangan peribadi yang positif melalui pengalaman diperolehi semasa pertandingan,” katanya. 

Malaysia menyasarkan sekurang-kurangnya tiga pingat pada Pertandingan WSC 2024.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini berkata Malaysia bakal meneroka kepelbagaian teknologi serta amalan baik sektor Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) pada peringkat antarabangsa menerusi penyertaan dalam WSC 2024.

Sebelum ini, media melaporkan bahawa kerajaan menyediakan insentif khas wang tunai RM40,000 kepada peserta yang memenangi pingat emas pada WSC di Lyon pada bulan ini.

Insentif khas kepada peserta itu sebagai tanda sokongan, galakan dan dorongan demi memburu kejayaan yang cemerlang pada WSC 2024.

Pemenang pingat perak pula akan menerima ganjaran RM20,000 manakala pingat gangsa menerima RM10,000 dan RM4,000 bagi Medal Untuk Kecemerlangan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan