AM

Kes Pemandu Bas Rakam Murid : KPM Sedia Bantuan Kaunseling Kepada Kanak-kanak Terlibat

06/09/2024 08:56 PM

ALOR SETAR, 6 Sept (Bernama) -- Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan menyediakan bantuan kaunseling kepada kanak-kanak yang terbabit dalam kes pemandu bas yang merakam video mereka dan memuat naik dalam aplikasi media sosial.

Timbalan Menteri Pendidikan Wong Kah Woh berkata sekiranya ada keperluan, bantuan kaunseling itu akan disediakan melalui Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD).

“Berkenaan isu pemandu bas sekolah ini, pihak polis telah pun mengambil tindakan terhadap pemandu bas tersebut dan memulakan siasatan.

“Sekiranya mempunyai keperluan pihak KPM melalui JPN dan PPD akan memberikan kaunseling kepada anak-anak kita, murid-murid dan pelajar-pelajar yang merupakan mangsa dalam isu ini dan pihak KPM sentiasa bersedia untuk membantu anak-anak kita,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Polis hari ini menahan seorang pemandu bas berusia 24 tahun yang memuat naik video dan menyiarkan gambar kanak-kanak dibawanya dalam bas di Simpang Renggam, Kluang pada 2.57 pagi dan merampas telefon bimbit dipercayai digunakannya untuk siasatan lanjut.

Wong berkata KPM juga menyerahkan kepada pihak polis berhubung siasatan kes itu.

Dalam perkembangan lain, Wong berkata KPM mempunyai garis panduan yang perlu dipatuhi berkaitan jemputan orang kenamaan atau ahli politik, bagi menghadiri program di dalam sekolah.

Beliau berkata pihaknya telah menjelaskan beberapa kali berhubung garis panduan itu, apabila ia dibangkitkan Ahli Parlimen di dalam Dewan Rakyat dan ia sepatutnya difahami semua pihak.

“Saya percaya bahawa peruntukan dan garis panduan yang ditetapkan itu amat jelas. Maka semua pihak perlu bertanggungjawab dan mematuhi garis panduan tersebut dan saya memohon supaya kerajaan negeri (Kedah) membaca dengan teliti garis panduan yang ada dan pihak KPM berpegang kepada garis panduan yang ada,” katanya.

Sebelum ini, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Agama, Komunikasi dan Penerangan Kedah Datuk Mohd Azam Abd Samat dalam kenyataan mendakwa, JPN Kedah memberi ‘arahan’ agar guru-guru yang terlibat dengan program kerajaan negeri supaya tidak hadir ke program tersebut.

Terdahulu, Wong yang juga Pengarah Pendidikan Politik Kebangsaan DAP merasmikan Konvensyen Biasa DAP Kedah 2024.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan