AM

Kontrak Kontraktor Dewan Selera MRSM Taiping Ditamatkan, Tindakan Undang-undang Akan Diambil- Asyraf Wajdi

06/09/2024 11:52 PM

IPOH, 6 Sept (Bernama) -- Majlis Amanah Rakyat (MARA) akan menamatkan kontrak kontraktor dewan selera Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Taiping dan mengambil tindakan undang-undang, susulan tindakan sambil lewa kontraktor itu dalam penyediaan makanan kepada pelajar institusi tersebut.

Pengerusi MARA Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata pihaknya tidak akan berkompromi dengan kontraktor berkenaan, yang didapati mengambil ringan soal kebersihan dan melanggar terma-terma kontrak.

“Saya sebagai pengerusi amat tegas bahawa kita tidak ada kompromi.

“… kerana kita nak memberi isyarat juga kepada mana-mana kontraktor yang lain yang mengambil pendekatan sambil lewa sehingga boleh memberikan kesan dan mengancam soalan nyawa, kesihatan dan juga kepada kesejahteraan anak-anak kita yang sedang belajar,” katanya pada sidang media di Hotel Casuarina di sini malam ini, susulan pemeriksaan mengejut beliau di dewan selera MRSM Taiping itu, semalam.

Beliau berkata pemeriksaan mengejut itu susulan laporan ibu bapa mengenai anak-anak mereka yang terkena keracunan makanan akibat makanan disediakan di dewan selera itu dan perkara itu berulang biarpun telah disita oleh Pejabat Kesihatan Daerah Larut, Matang dan Selama.

Pada kejadian terbaharu dewan selera itu diarah tutup oleh Pejabat Kesihatan Daerah Larut, Matang dan Selama (PKD LMS) pada 30 Ogos, apabila 62 pelajar terkena keracunan makanan.

Namun ia dibuka semula beberapa hari kemudian, selepas pemeriksaan mendapati tahap kebersihannya berada pada tahap memuaskan.

Sementara itu Asyraf berkata pihaknya dimaklumkan Kementerian Kesihatan telah mengarahkan dewan selera itu ditutup mulai hari ini sehingga 20 Sept ini.

Mengulas mengenai pelanggaran syarat kontrak, beliau berkata kontraktor berkenaan didapati melakukan beberapa kesalahan antaranya tidak menyediakan pekerja mencukupi dan tidak menyediakan menu makanan seperti dipersetujui.

“Jika diikutkan pekerja perlu ada 19 orang mengikut nisbah seorang pekerja menyelia 50 orang pelajar, namun ketika lawatan hanya ada tujuh pekerja sahaja, menu pula sepatutnya hidang ikan tenggiri, tetapi didapati hidang ikan yang lain,” katanya.

Beliau berkata kontraktor juga didapati memberikan tugas pengendalian makanan itu kepada pihak lain.

Justeru Asyraf berkata tindakan undang-undang akan diambil termasuk tindakan saman.

Sementara itu, beliau dengan tegas berkata beliau tidak sesekali gentar mengambil tindakan ke atas kontraktor tersebut, walaupun dikatakan pihak itu mempunyai hubungan dengan pihak berkepentingan.

Beliau juga mengingatkan semua kontraktor penyedia makanan di dewan selera 57 MRSM di seluruh negara, kerana terdapat trend kontraktor tidak menyediakan makanan mengikut apa yang telah tetapkan apabila kontrak mereka hampir tamat, kontraktor terlibat juga akan berdepan tindakan yang sama.

Semalam tular hantaran video di Facebook memaparkan Asyraf mengadakan lawatan mengejut ke MRSM Taiping, setelah menerima laporan daripada ibubapa pelajar di MRSM tersebut mengenai kes keracunan makanan di institusi berkenaan.

Dalam video itu, Asyraf telah menghubungi kontraktor terbabit memohon penjelasan mengenai kebersihan dan menu makanan, namun dibalas dengan angkuh oleh kontraktor itu.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan