AM

Program Citarasa Malaysia Buka Laluan PMKS Tembusi Pasaran UAE

08/09/2024 10:14 AM

Daripada Lucia Terey Anak John

DUBAI, 8 Sept (Bernama) -- Program Citarasa Malaysia yang dilancarkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) di sini semalam, bakal membuka laluan kepada lebih banyak produk usahawan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) tempatan menembusi pasaran Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali berkata selain China, Jepun dan Thailand, UAE adalah negara yang sesuai untuk memulakan program berkenaan kerana kedudukannya yang strategik di kawasan Timur Tengah.

Beliau berkata program berkenaan menyaksikan 44 Unit Penyimpanan Stok (SKU) barangan tempatan dari 16 syarikat akan dijual di Lulu Hypermarket, yang setakat ini mempunyai 120 cawangan di UAE termasuk 48 buah di Dubai.

“Terdapat sebanyak 241 SKU barangan buatan Malaysia di bawah promosi KPDN telah memasuki rangkaian Lulu Hypermarket di seluruh UAE dengan nilai jualan sebanyak RM30 juta tahun lepas.

“Ia terdiri daripada 30 syarikat tempatan yang mengeluarkan produk segar, makanan dan produk penjagaan diri. Justeru, SKU yang dibawa masuk kali ini akan meluaskan lagi pasaran produk PMKS tempatan ke UAE,” katanya kepada Bernama selepas merasmikan program Citarasa Malaysia di Lulu Hypermarket, Silicon Oasis di sini.

Berdasarkan trend nilai eksport hampir mencecah RM600 juta di UAE bagi makanan proses dari Malaysia yang mendapat permintaan tinggi, Armizan berkata PMKS Malaysia perlu lebih bersedia untuk bersaing di pasaran global.

Armizan berkata untuk membolehkan PMKS mempunyai platform bagi memperkenalkan produk mereka, KPDN akan meningkatkan kerjasama dengan beberapa pasar raya besar lain yang mempunyai rangkaian di luar Malaysia seperti Lotus’s untuk pasaran Thailand dan Aeon (Jepun).

Beliau berkata KPDN juga meneroka kerjasama dengan sebuah koperasi di China, dan ia sedang dimuktamadkan.

“Ini penting agar kita boleh mengetahui produk bersesuaian untuk dibawa masuk ke negara berkenaan, selain dapat membantu kita memantau perkembangan produk PMKS dan melakukan penambahbaikan, berdasarkan data yang diperoleh dari pasar raya terbabit,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan