EKONOMI

Pertingkatkan Operasi Penerbangan Untuk Penuhi Permintaan Adalah Keutamaan - AirAsia

08/09/2024 12:22 PM

Oleh Kisho Kumari Sucedaram

KUALA LUMPUR, 8 Sept (Bernama) -- AirAsia sedang meningkatkan operasi penerbangannya untuk memenuhi permintaan penumpang dan penambahan pesawat menjelang akhir tahun, ia akan membantu memenuhi permintaan untuk sambungan udara.

“AirAsia berusaha untuk mengisi kekosongan (laluan penerbangan) di mana terdapat permintaan. Kami menyasarkan untuk menampung sebanyak mungkin kawasan yang disokong oleh penambahan pesawat daripada 79 kepada 92 pesawat di Malaysia menjelang akhir Disember,” kata Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Operasi Syarikat Penerbangan) AirAsia Datuk Kapten Chester Voo kepada Bernama.

"Pesawat ini sama ada baru diterima atau kembali beroperasi selepas COVID dan dengan 92 pesawat, kami akan menggunakan seberapa banyak pesawat yang ada untuk mengisi kekosongan berdasarkan permintaan," katanya.

Beliau berkata AirAsia boleh mengisi laluan penerbangan utama ke Sabah, Sarawak, China, Indonesia dan Thailand yang berada dalam jangkauannya.

Kapten Chester berkata demikian bagi mengulas pengumuman Malaysia Aviation Group (MAG) pada 24 Ogos lepas untuk mengurangkan penerbangan dan laluan mulai sekarang dan Disember 2024.

MAG mengendalikan Malaysia Airlines.

Langkah itu dilaporkan telah menyebabkan peningkatan permintaan penumpang bagi syarikat penerbangan lain dan laluan.

Keputusan itu dilakukan sebagai respons kepada gangguan perkhidmatan baru-baru ini untuk memastikan kebolehpercayaan jangka panjang dan kekukuhan operasi pesawat yang menjejaskan perkhidmatan Malaysia Airlines, Firefly dan Amal pada 19 Ogos 2024.

 

Gangguan penerbangan tidak dapat dielakkan, bukan Malaysia Airlines sahaja terjejas

Kapten Chester menjelaskan bahawa gangguan penerbangan atau penjadualan semula masa penerbangan adalah aspek yang tidak dapat dielakkan dalam operasi syarikat penerbangan.

“Ia bukan sahaja menjejaskan syarikat penerbangan tempatan. Ia memberi kesan kepada semua orang. Syarikat penerbangan tempatan mungkin sedang menjadi tumpuan tetapi ia adalah isu yang meluas (menjejaskan semua syarikat penerbangan),” katanya

Beliau memberitahu faktor iklim terutamanya cuaca buruk adalah isu biasa, sebagai contoh, purata hujan lebat di Malaysia boleh bertahan 30 hingga 45 minit.

“Ketika ini, beberapa pesawat mungkin boleh mendarat tetapi ada yang mungkin perlu ubah laluan penerbangan. Justeru, pesawat yang dijadualkan memasuki Kuala Lumpur terpaksa dilencongkan ke tempat lain. Ia mungkin mengambil masa sejam untuk sampai ke sana dan transit kembali ke destinasi asalnya selepas cuaca bertambah baik,” katanya.

Selain itu, pesawat itu perlu mendapatkan slot baharu sebelum boleh kembali pulang ke Kuala Lumpur.

“Itu akan mengambil masa tiga jam. Apabila ia kembali untuk meneruskan ke sektor seterusnya, penumpang yang terjejas mengalami kelewatan selama tiga jam.”

"Dengan lebih daripada 500 penerbangan sehari, ini boleh menjejaskan sebanyak 25 hingga 30 penerbangan," katanya merujuk kepada "snowball effect" (kesan menyeluruh).

Faktor lain yang tidak dapat dielakkan ialah apabila pesawat mengalami masalah teknikal ad hoc yang mungkin datang dalam pelbagai bentuk, ia mengakibatkan pesawat berpatah balik atau pergi ke lapangan terbang terdekat yang boleh menawarkan sokongan (teknikal) yang diperlukan.

“Jika anda mempunyai masalah teknikal dan ia tidak menjejaskan keselamatan, anda boleh terus beroperasi. Untuk isu tertentu, itu mungkin tidak dapat dilakukan dan pembaikan segera diperlukan,” katanya.

Beliau berkata salah satu cara untuk menangani situasi sebegitu adalah dengan mempunyai pesawat ganti.

“Walaupun begitu dalam situasi di mana sembilan hingga 10 laluan penerbangan diubah secara serentak, tidak ada syarikat penerbangan yang akan mempunyai sembilan hingga 10 pesawat ganti duduk di darat untuk membantu semua penerbangan.

“Justeru, mereka akan menetapkan semula jadual penerbangan supaya semua orang sampai ke destinasi mereka,” katanya.

Bagi AirAsia, beliau berkata syarikat penerbangan tambang rendah itu membawa dua hingga tiga pesawat ganti setiap hari berdasarkan saiz operasinya.

Beliau berterima kasih kepada Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) dan Kementerian Pengangkutan kerana memberi kerjasama apabila AirAsia memerlukan bantuan untuk menyelesaikan penerbangan kerana gangguan.

“Operasi syarikat penerbangan yang berjaya memerlukan kerjasama daripada semua pihak berkepentingan yang berkaitan,” katanya.

 

AirAsia akan semak semula dasar bayaran balik

Sebagai respons kepada perubahan peraturan baru-baru ini, Kapten Chester berkata AirAsia dengan mematuhi sepenuhnya peraturan kerajaan akan menyemak dasar bayaran balik sedia ada untuk memenuhi keperluan baharu tersebut.

Beliau berkata peningkatan AirAsia dalam perkhidmatan pelanggan, masa respons bertambah baik kepada purata 1.7 minit pada 2024 daripada 26 minit pada 2021 dan kadar penyelesaian aduan meningkat kepada 84 peratus daripada 67 peratus pada 2021.

"Kami masih mempunyai jurang 16 peratus tetapi kami sedang berusaha untuk menangani perkara ini setiap hari. Kami berusaha untuk menambah baik secara berterusan,” katanya.

Awal minggu ini, Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) mengumumkan bahawa Kod Perlindungan Pengguna Penerbangan Malaysia 2016 (MACPC) mewajibkan syarikat penerbangan untuk mengeluarkan bayaran balik kepada pengguna dalam cara pembayaran asal dalam tempoh 30 hari.

“Apabila membincangkan mengenai pampasan dan perlindungan pengguna, penting untuk mempertimbangkan keseluruhan ekosistem termasuk syarikat penerbangan, pengendali lapangan terbang dan kawalan trafik udara. Beberapa kelewatan disebabkan oleh faktor di luar rantaian pengguna termasuk cuaca,” kata Kapten Chester.

 

Peningkatan trafik penumpang udara untuk ASEAN 2025

Malaysia menjadi tuan rumah Sidang Kemuncak ASEAN tahun depan, sehubungan itu AirAsia sedang melakukan persediaan untuk lonjakan dalam trafik penumpang dan merancang untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan dan meningkatkan armadanya.

“Kami menjangkakan lebih banyak pesawat akan memasuki sistem itu tahun depan termasuk A321 baharu untuk 2025, walaupun ini bergantung kepada bahagian, komponen dan rantaian bekalan pesawat,” katanya.

Beliau berkata AirAsia tidak mempunyai rancangan untuk menamatkan mana-mana pesawat pada 2025 dan 2026, purata umur pesawat itu kini adalah 10.8 tahun dan berada di bawah penanda aras untuk penyelenggaraan berat.

AirAsia mengendalikan lebih 50 laluan penerbangan dari Kuala Lumpur dan Kota Kinabalu dengan India dan China menjadi dua pasaran terbesarnya, disokong oleh inisiatif perjalanan tanpa visa.

“Dalam tempoh dua tahun akan datang, kami berharap dapat mengembangkan kehadiran kami di bandar-bandar lain di Afrika dan Asia Selatan,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan