RAMALLAH, 11 Sept (Bernama-WAFA) -- Afrika Selatan mengumumkan hasratnya untuk mengemukakan memorandum kepada Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) bulan depan, termasuk bukti yang menunjukkan Israel melakukan "jenayah genosid" di Palestin.
Menurut kenyataan yang diterbitkan di laman sesawangnya, "Afrika Selatan akan menyerahkan memorandumnya kepada Mahkamah Keadilan Antarabangsa bulan depan", lapor Agensi Berita Palestin (WAFA).
Ia menambah, "Afrika Selatan berhasrat untuk mengemukakan fakta dan bukti bagi menunjukkan bahawa Israel melakukan jenayah genosid di Palestin," dan menekankan bahawa "kes ini akan diteruskan sehingga mahkamah mengeluarkan keputusannya."
Afrika Selatan turut menyatakan harapannya agar "Israel mematuhi perintah sementara yang dikeluarkan oleh mahkamah setakat ini."
Kenyataan itu juga menyebut bahawa "beberapa negara, iaitu Nicaragua, Palestin, Turkiye, Sepanyol, Mexico, Libya dan Colombia, telah menyertai kes yang difailkan oleh Afrika Selatan terhadap Israel."
Pada penghujung Disember 2023, Afrika Selatan memfailkan saman terhadap Israel di ICJ atas alasan ia telah melanggar Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu 1948 mengenai Pencegahan Jenayah Genosid.
Sejak 7 Oktober 2023, Israel melancarkan serangan besar-besaran ke atas Gaza menyebabkan kira-kira 136,000 orang maut dan cedera, kebanyakannya kanak-kanak dan wanita, dan lebih 10,000 hilang.
-- BERNAMA-WAFA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial