AM

Kenaikan Pemberian Khas Interim Bukti Persekutuan Iktiraf Tuntutan MA63 Sabah, Sarawak

14/09/2024 08:16 PM

PENAMPANG, 14 Sept (Bernama) -- Kenaikan kadar pemberian khas interim untuk Sabah dan Sarawak daripada RM300 juta kepada RM600 juta mulai tahun depan merupakan bukti jelas kerajaan Persekutuan mengiktiraf tuntutan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dua negeri itu.

Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Datuk Ewon Benedick berkata kenaikan itu juga merupakan antara bentuk perakuan kerajaan pusat terhadap hak 40 peratus Sabah di bawah Perkara 112C dan 112D Perlembagaan Persekutuan.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi itu berkata tindakan selepas ini adalah perbincangan yang berterusan antara kerajaan Sabah, Sarawak dan Persekutuan untuk merealisasikan apa yang terkandung dalam MA63.

“Saya fikir ini memerlukan masa kerana melibatkan mekanisme yang perlu dibincangkan dan dipersetujui bersama. Sebagai rakan pimpinan dari Sabah saya ingin menyumbang ke arah pemuktamadan maksimum yang akan dibincangkan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu Ewon bersama Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil menyantuni editor sambilan New Straits Times Roy Goh yang menghidap penyakit angin ahmar dan terjejas banjir di kediamannya di Kampung Dabak di sini hari ini.

Khamis lepas, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof dilaporkan berkata kerajaan Persekutuan bersetuju menaikkan kadar pemberian khas interim untuk Sabah dan Sarawak daripada RM300 juta kepada RM600 juta mulai tahun depan.

Ewon yang juga Ahli Parlimen Penampang berkata kerajaan Sabah mengemukakan tuntutan secara rasmi pada 18 Jun lepas dan banyak perbincangan positif antara kerajaan Persekutuan serta negeri dilakukan di peringkat Jawatankuasa Kerja atau diangkat ke Jawatankuasa Teknikal, yang kemudiannya dibawa ke Majlis Tindakan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63).

“Selebihnya bagi perkara yang tidak dapat dimuktamadkan di MTPMA63 akan dibincangkan oleh Perdana Menteri, Ketua Menteri dan Premier Sarawak,” katanya menambah setakat ini tiada tempoh masa ditetapkan untuk melaksanakan apa yang terkandung dalam MA63, bagi membuka ruang perbincangan yang lebih luas antara kerajaan Persekutuan dan negeri.

Sementara itu, Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Sabah Lahirul Latigu berkata kenaikan pemberian khas itu satu hadiah yang amat bermakna bagi rakyat negeri ini, lebih-lebih lagi sempena sambutan Hari Malaysia peringkat kebangsaan yang akan diadakan di Sabah 16 Sept ini.

Beliau berkata langkah itu juga memperlihatkan komitmen dan keprihatinan Kerajaan MADANI di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap pembangunan dan kesejahteraan Sabah.

“Dengan dana tambahan ini, Sabah dijangka dapat mempercepat pelaksanaan pelbagai projek pembangunan yang amat diperlukan, terutamanya dalam sektor infrastruktur.

“Kenaikan ini bakal membawa manfaat besar kepada rakyat, terutama bagi penduduk di kawasan luar bandar yang memerlukan sokongan tambahan dalam aspek pembangunan asas,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Lahirul turut menzahirkan penghargaan kepada Anwar atas penyelesaian tujuh tuntutan di bawah MTPMA63, yang berjaya diselesaikan dalam tempoh kurang dua tahun di bawah pentadbiran Perdana Menteri itu.

Beliau yakin dengan komitmen sebegini daripada Kerajaan MADANI, masa depan Sabah akan lebih cerah, sejajar dengan matlamat pembangunan dan kesejahteraan yang ingin dicapai di seluruh negara.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan