AM

Pegawai Awam Berstatus Tetap, Berpencen Pilih SSPA Tidak Terjejas Malah Dapat Pelarasan Gaji

14/09/2024 08:19 PM

KUALA LUMPUR, 14 Sept (Bernama) -- Pegawai awam berstatus tetap dan berpencen yang memilih Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) bukan sahaja tidak terjejas malahan akan menerima pelarasan gaji.

Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dalam kenyataan hari ini memaklumkan di bawah SSPA, pegawai berstatus kontrak juga layak menerima pelarasan gaji.

Menurut JPA, ia adalah sebahagian daripada usaha kerajaan untuk memastikan kesejahteraan dan kepuasan kerja semua pegawai awam tanpa mengira status perjawatan.

“Kepada pegawai awam yang tidak memilih opsyen SSPA dan ingin kekal di bawah Sistem Saraan Malaysia (SSM) yang berstatus tetap dan berpencen pula, pencen anda juga kekal dan tidak terjejas, berkhidmatlah seperti biasa namun anda tidak akan menikmati pelarasan gaji seperti di bawah SSPA,” menurut kenyataan itu.

JPA turut memaklumkan bahawa sebagai langkah tambahan, sesi libat urus (SLU) akan diadakan bagi memberikan penjelasan yang lebih mendalam mengenai pemilihan opsyen SSPA itu.

Sesi pertama dijadualkan berlangsung pada Selasa depan (17 Sept) diikuti siri jelajah yang meliputi setiap kementerian serta jabatan di Semenanjung, Sabah dan Sarawak manakala penerangan secara dalam talian juga akan diadakan.

Kenyataan itu menyebut semua pegawai awam, termasuk yang berstatus kontrak, adalah dijemput untuk menghadiri sesi ini bagi mendapatkan maklumat lanjut dan menjelaskan sebarang pertanyaan yang mungkin timbul.

"JPA komited untuk memastikan kesejahteraan pegawai awam terjamin dan berharap SLU ini akan memberi manfaat yang jelas kepada semua pihak.

“FB Live JPA bertajuk SSPA: Pencen kekal juga akan diadakan pada 19 Sept ini selama satu jam bermula 10 pagi untuk pencerahan bersama,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan