AM

Kapten Wan Marzudi Sukar Lupa Insiden 142 Tembakan Komunis Ketika Pertahan Negara

15/09/2024 11:51 AM

Oleh Noornasrin Salsabila Othman

PASIR PUTEH, 15 Sept (Bernama) -- Insiden 142 tembakan dilepaskan pasukan komunis ketika mempertahankan negara masih segar di ingatan Kapten Wan Marzudi Wan Omar, 64, walaupun peristiwa itu sudah berlalu hampir 40 tahun lepas. 

Mengenang kembali detik itu, Wan Marzudi berkata kejadian itu berlaku pada 1985 semasa pertempuran di Ladang Sun Lee, Raub, Pahang yang melibatkan kira-kira tiga platun iaitu sekitar 100 anggota. 

Beliau berkata tugasnya ketika itu menghantar tiga platun yang diketuai oleh Allahyarham Mejar Baharun Dolah, 64, yang bergerak masuk ke kawasan ladang sekitar 9 malam diiringi kereta perisai untuk menjalankan operasi rutin bagi menjejaki komunis di kawasan berkenaan. 

“Kami memasuki Ladang Sun Lee dengan melalui jalan lama Raub, menggunakan laluan hutan. Selepas menghantar kesemua anggota di situ, saya pulang ke Kem Indera, Raub memandangkan saya perlu bersedia sekiranya berlaku apa-apa ‘contact’ terhadap tiga platun berkenaan.

“Keesokan hari berdasarkan maklumat yang diperoleh, tiga komunis secara tiba-tiba menyerang hendap sebelum mereka melepaskan tembakan. Saya dapat dengar dengan jelas bunyi kira-kira 142 das tembakan menerusi radio ketika berada di kem,” katanya ketika ditemui Bernama di kediamannya di Kampung Kuala Semerak di sini baru-baru ini.

Bercerita lanjut mengenai insiden itu, bapa kepada empat cahaya mata itu berkata ketika kejadian beliau serta platunnya terus bergerak menuju kawasan ladang bagi memberi bantuan serta meninjau sekiranya terdapat anggota yang cedera.

Nasib menyebelahi mereka kerana tiada askar yang cedera, semua sempat berlindung dan berbalas tembakan dengan komunis sebelum melarikan diri ke dalam hutan. 

“Kejadian berbalas tembakan pada 1 tengah hari itu berlaku sekitar tiga minit, komunis melepaskan 142 tembakan guna senapang point 22 manakala anggota kita guna senapang peluru tabur.

“Ketika dalam perjalanan ke kawasan ladang itu untuk menghantar bantuan, fikiran saya agak bercelaru kerana isteri saya Azizah Yunos, 64, berada di hospital untuk melahirkan anak sulung … ," katanya.

Bagaimanapun, demi mempertahankan negara serta memikirkan keadaaan pasukan yang baharu sahaja diserang hendap komunis ketika itu, beliau mengetepikan perasaan serta hal keluarga selain hanya berharap isteri serta anak dilahirkan selamat. 

Demi mempertahankan negara dan memikirkan keadaan pasukan yang baru diserang hendap beliau melupakan seketika perasaan dan urusan keluarga. 

"Syukur ketika masih di dalam hutan saya menerima semboyan melalui frekuensi telegram yang memaklumkan isteri dan bayi lelaki saya selamat ... dan saya kembali fokus kepada tugas. 

"Pengalaman itu satu daripada yang sukar dilupakan, gerun mendengar tembakan bertalu-talu daripada komunis," katanya.

Wan Marzudi berkata sejak berkecimpung dalam Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) selepas menerima watikah pelantikan pada 1982 beliau sudah terlibat dengan lebih 20 operasi termasuk Ops Kota Eko dan Ops Inderal sebelum menamatkan perkhidmatan pada 1990.

Antara pingat yang diterima ialah Pingat Perkhidmatan Am, Pingat Perkhidmatan Setia dan Pingat Jasa Malaysia.

Beliau berharap generasi muda terus mengukuhkan perpaduan tanpa mengira latar belakang kaum dan agama selain mencintai tanah air sepenuh hati.

“Anggota tentera kita telah bersusah payah terutama berhadapan dengan komunis sehingga ada yang terkorban nyawa semata-mata untuk mempertahankan negara bagi mengecapi kemerdekaan,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan