JENAYAH & MAHKAMAH

Kanak-kanak Sembilan Tahun Cuba Dilarikan Ketika Tunggu Van Sekolah

15/09/2024 03:54 PM

KUALA LUMPUR, 15 Sept (Bernama) -- Seorang kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun  berdepan detik cemas apabila cuba dilarikan ketika sedang menunggu van sekolah di kawasan rumahnya di Bukit Beruntung dekat sini pada Jumaat. 

Timbalan Ketua Polis Daerah Hulu Selangor DSP Mohd Asri Mohd Yunus berkata pihaknya menerima laporan insiden berkenaan daripada ibu mangsa pada 8.56 malam hari yang sama. 

“Hasil siasatan mendapati suspek seorang wanita warga tempatan cuba melarikan kanak-kanak berkenaan namun percubaan itu gagal apabila mangsa berjaya melarikan diri ke sebuah kedai berhampiran sambil menjerit meminta tolong.

“Saksi awam yang berada di tempat kejadian menyelamatkan kanak-kanak itu namun suspek berjaya melarikan diri,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. 

Polis membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 363 Kanun Keseksaan dan Seksyen 511 Kanun Keseksaan. 

Beliau berkata setakat ini tiada rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan identiti wanita terbabit sedang dikenal pasti manakala suspek dipercayai bertindak secara solo.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Hulu Selangor di talian 03-60641223. 

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan