AM

Tiada Aduan Berkaitan Gisbh Di Johor Setakat Ini -- Exco

15/09/2024 04:05 PM

JOHOR BAHRU, 15 Sept (Bernama) -- Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) tidak menerima sebarang aduan mengenai dakwaan salah laku syarikat GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) di negeri itu setakat ini.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor Mohd Fared Mohd Khalid bagaimanapun berkata syarikat berkenaan sentiasa dalam pemantauan pihaknya.

“Kita juga telah dapat taklimat bersama Cawangan Khas Bukit Aman dan GISBH sentiasa dipantau dengan baik di Johor. Buat masa ini keadaan adalah terkawal dan tiada laporan atau aduan diterima.

“Kita tahu mereka berurus niaga dan bermuamalat di sini, tetapi itu (aktiviti ekonomi) tiada masalah, namun antara yang menjadi kebimbangan kita adalah membabitkan perihal ajaran iaitu sekiranya ia didapati bertentangan (ajaran Islam),” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Majlis Ihtifal Ilmi Sekolah Menengah Agama Malaysia (MIISMAM) Peringkat Kebangsaan 2024 di Pusat Islam Iskandar di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sekiranya JAINJ memantau pengoperasian GISBH susulan dakwaan salah laku melibatkan syarikat itu. 

Mohd Fared pada masa sama berkata JAINJ bersedia untuk mengambil tindakan sekiranya terdapat sebarang aduan membabitkan syarikat itu di Johor.

Sebelum ini, tular di media sosial mengenai GISBH yang didakwa terbabit dalam eksploitasi kanak-kanak sebagai pekerja sebelum Polis Diraja Malaysia menyelamatkan 402 kanak-kanak berusia lingkungan setahun hingga 17 tahun dari 18 rumah kebajikan di Selangor dan Negeri Sembilan dalam Op Global pada Rabu lepas.

Pada 13 Sept, Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain mendedahkan hasil siasatan mendapati 13 penghuni rumah amal yang dikaitkan dengan syarikat itu dipercayai menjadi mangsa liwat.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan