AM

Penduduk Mahu Kepimpinan Tok Pah Diteruskan, Wakil Rakyat Perlu Prihatin

15/09/2024 04:52 PM

KLUANG, 15 Sept (Bernama) -- Prihatin permasalahan rakyat, boleh memimpin dan mudah didekati sepanjang masa antara kriteria yang menjadi faktor penentu pengundi Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota dalam memilih wakil rakyat baharu. 

Peniaga Michael Lee, 58, mahu calon yang dipilih pada Pilihan Raya Kecil (PRK) yang akan berlangsung 28 Sept ini, dapat meneruskan kepimpinan penyandang Allahyarham Datuk Sharifah Azizah Syed Zain yang telah meninggalkan penanda aras sukar ditandingi. 

"Tok Pah (Sharifah Azizah) wakil rakyat yang bekerja, begitu baik dengan rakyat ... jika hendak dikatakan permasalahan yang betul-betul besar dihadapi komuniti setempat pun sukar kerana beliau memang prihatin dengan warga Mahkota. 

"Saya berharap calon yang menang dapat meneruskan legasi Tok Pah dan mudah untuk kami bertemu jika terdapat permasalahan hendak diutarakan," katanya semasa ditemui di sini hari ini. 

Sharifah Azizah, 63, meninggal dunia pada 2 Ogos semasa menerima rawatan di Hospital Enche'  Besar Hajjah Khalsom di sini. 

PRK DUN Mahkota menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara Barisan Nasional (BN) Syed Hussien Syed Abdullah dan calon Perikatan Nasional (PN) Mohamad Haizan Jaafar. 

Pesara tentera Mangadi Salwi, 75, berpendapat pemilihan Syed Hussien dapat meneruskan kepimpinan terdahulu kerana beliau bukan asing dalam kalangan penduduk setempat memandangkan keluarganya mengusahakan kedai makan di sini. 

"Ramai yang kenal arwah bapanya dan sebelum aktif politik, Syed Hussien biasa menegur dan mesra dengan kami. Sejak dulu, beliau tidak sombong dan kalau memilih pemimpin memang itu yang kami mahukan. Senang tunjuk muka jika ada masalah dan kena bekerja untuk kebaikan penduduk," katanya. 

Sementara itu, suri rumah  Nur Syamimi Salleh, 37, yang menetap di Taman Ilham di sini berharap calon yang menang dapat menangani masalah banjir kilat di kawasan perumahan itu serta beberapa lokasi lain sekitar Kluang.  

"Saya harap calon dapat memikirkan penyelesaian seperti memperluas saliran air atau bina kolam takungan air di kawasan kerap berlaku banjir kilat. Walaupun banjir berlaku tidak lama namun kerja mengemas dan mencuci rumah tetap perlu dilakukan selepas air surut selain berisiko kepada keselamatan," katanya.

Pekerja swasta Arvin Kumar, 25, berharap tumpuan dapat diberikan kepada peluasan sektor pekerjaan yang kini banyak tertumpu kepada sektor pembuatan dan perindustrian bagi memberi peluang kepada anak muda tempatan yang memiliki kelulusan ijazah selain bidang berkenaan.  

"Kalau ada lebih banyak pilihan sektor pekerjaan, anak muda boleh terus berkhidmat sesuai dengan bidang  kelulusan dan tidak perlu merantau untuk mencari pekerjaan sesuai," katanya. 

DUN Mahkota mula dipertandingkan pada 2004 iaitu pada Pilihan Raya Umum ke-11 yang dimenangi BN, dan seterusnya mengekalkan kerusi itu pada PRU ke-12 dan PRU ke-13 sebelum tewas pada PRU ke-14 kepada Pakatan Harapan (PH) pada 2018.

Bagaimanapun, Sharifah Azizah merampas kembali kerusi itu pada 2022 pada persaingan empat penjuru dengan majoriti 5,166 undi. 

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan