DUNIA

Negara Barat Tidak Boleh Paksa Iran Ikut Kehendak Mereka Dengan Kenakan Sekatan - Menteri Luar

15/09/2024 08:00 PM

TEHRAN, 15 Sept (Bernama-Sputnik) -- Negara Barat tidak dapat memaksakan kehendak mereka ke atas Iran dengan menggunakan sekatan, kata Menteri Luar Iran Abbas Araghchi, lapor Sputnik.

"Negara Barat harus tahu, dan ia mengejutkan bahawa mereka masih belum menyedari hal ini, bahawa sekatan adalah alat yang gagal dan mereka tidak boleh memaksakan kehendak mereka ke atas Iran melalui sekatan, baik dalam isu nuklear mahupun isu lain," kata Araghchi, seperti dipetik oleh agensi berita Fars.

Diplomat tertinggi Iran itu juga menyeru negara-negara Barat untuk mengubah haluan mereka, sambil menambah bahawa Tehran bersedia untuk terlibat dalam dialog yang saling menghormati, bukannya ancaman dan tekanan.

Dalam satu kenyataan bersama pada Selasa, Jerman, United Kingdom dan Perancis mengancam Iran dengan sekatan baharu, termasuk pembatalan perjanjian perkhidmatan udara dua hala, berhubung dakwaan penghantaran peluru berpandu balistik jarak dekat oleh Tehran kepada Rusia untuk digunakan dalam pertempuran di Ukraine.

Iran telah menafikan tuduhan memberi sokongan ketenteraan kepada Rusia, dengan menyatakan bahawa ia tidak terlibat dalam konflik di Ukraine. Presiden Ukraine Volodymyr Zelenskyy telah mengakui bahawa beliau tidak mempunyai bukti Iran memindahkan peluru berpandu balistik kepada Rusia.

-- BERNAMA-SPUTNIK

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan