AM

MPM Komited Beri Pendedahan Budaya, Warisan Permainan Pada Generasi Muda

15/09/2024 09:52 PM

MELAKA, 15 Sept (Bernama) -- Majlis Pelayang Malaysia (MPM) komited memberi pendedahan berkaitan budaya dan warisan permainan layang-layang pada generasi muda menerusi pelbagai platform antaranya bengkel pembuatan wau tradisional dan festival layang-layang di seluruh negara.

Presidennya Datuk Abd Rahim Nin berkata inisiatif itu bukan sahaja memupuk minat dalam kalangan generasi muda malah memastikan permainan dan pembuatan layang-layang serta wau tidak dilupakan sekali gus memelihara warisan tidak ketara itu.

"Permainan layang-layang atau wau ini secara tidak langsung sebenarnya dapat memperkenalkan identiti warisan dan budaya sesebuah negeri atau negara kepada masyarakat di perlbagai peringkat secara lebih meluas.

"Selain itu, bengkel pembuatan wau turut memberi peluang kepada peserta atau peminat permainan itu mencungkil bakat mereka sekali gus dapat menambah pendapatan menerusi penjualannya yang mencecah sehingga ribuan ringgit bagi satu wau yang dihasilkan," katanya kepada pemberita di Pantai Klebang di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Karnival Usahawan @ Festival Layang-Layang Antarabangsa Melaka 2024 yang disempurnakan Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Abdul Razak Abdul Rahman.

Mengulas lanjut, Abd Rahim yang juga Yang Dipertua Persatuan Pelayang Johor berkata sambutan generasi muda khususnya pelajar sekolah terhadap pembuatan wau menerusi bengkel yang dianjurkan amat menggalakkan dan kebanyakan mereka tidak mempunyai pendedahan berkaitan permainan atau pembuatan permainan tradisonal itu.

Dalam pada itu, beliau berkata MPM juga sentiasa berusaha memastikan setiap penganjuran festival layang-layang mengetengahkan wau dari setiap negeri selain memperkenalkan layang-layang moden pelbagai saiz dan bentuk dalam usaha menarik pengunjung.

Terdahulu, Abdul Razak ketika berucap pada majlis berkenaan berkata lebih 100 pelayang tempatan dan antarabangsa antaranya dari Vietnam, Thailand, Singapura berkampung di Melaka bagi menjayakan Festival Layang-Layang Antarabangsa Melaka 2024 yang berlangsung selama enam hari bermula semalam.

Beliau berkata penganjuran festival berkenaan bukan sahaja dapat mempromosikan permainan layang-layang malah turut membantu menarik kedatangan lebih ramai pelancong ke negeri itu sempena Tahun Melawat Melaka 2024.

"Penganjuran Festival Layang-Layang Antarabangsa Melaka 2024 diharap dapat diteruskan lagi pada tahun hadapan sebagai salah satu acara tahunan pelancongan Melaka,” katanya.

-- BERNAMA

    

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan