EKONOMI

Pulau Pinang Teruskan Promosi Tarik Pelabur Ke BKIP 3 Dan BCTP - Ketua Menteri

16/09/2024 02:39 PM

GEORGE TOWN, 16 Sept (Bernama) -- Kerajaan Negeri Pulau Pinang meneruskan promosi bagi menarik minat pelabur untuk melabur dan mendirikan kilang di Taman Perindustrian Batu Kawan 3 (BKIP 3) dan Taman Teknologi Bandar Casia (BCTP), di Batu Kawan.

Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata kerja-kerja tanah dan penyediaan infrastruktur di kedua-dua tapak industri baharu tersebut sedang giat dijalankan dan dijangka siap sepenuhnya pada 2026. BCTP mempunyai keluasan 154.6 hektar manakala BKIP3 seluas 251.7 hektar.

"Saya ambil kesempatan mengadakan jelajah ke beberapa projek yang dilaksanakan oleh Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) di Batu Kawan antaranya dua tapak industri iaitu BCTP dan BKIP 3.

"BCTP dijangka dapat disiapkan sepenuhnya pada 2026 manakala, Fasa 1 dan Fasa 2 BKIP 3 juga dijangka siap pada 2026," katanya kepada pemberita selepas Majlis Sambutan Maulidur Rasul dan Program Agihan Makanan Anjuran Persatuan Peniaga-Peniaga Kompleks Padang Brown, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Chow berkata terdapat pemilik industri yang telahpun masuk melabur di BCTP degan memulakan pembinaan kilang di kawasan berkenaan.

''Di BCTP terdapat dua pelabur telah masuk dan mulakan pembinaan kilang, dan di BKIP 3 pula, tanah di sini sedang dalam peringkat kerja tanah dan sedang dalam proses tebus guna tanah untuk melaksanakan kerja-kerja infrastruktur," katanya.

Beliau berkata kemajuan di tapak BCTP dan BKIP 3 menunjukkan kesediaan kerajaan negeri untuk menawarkan peluang pelaburan serta kawasan yang selesa kepada pelabur untuk melabur di negeri ini.

"Kita ada beberapa ratus hektar tanah industri yang telah siap untuk ditawarkan kepada pelabur berbanding dahulu, ini menunjukkan kesiapsiagaan kita dalam memberikan keselesaan kepada pelabur untuk melabur di negeri ini.

"Kami akan menjalankan promosi yang berterusan untuk menarik pelabur ke kawasan baharu (BCTP dan BKIP 3), dan promosi akan dilakukan sehingga semua tanah di situ dapat dijual untuk kegunaan industri," katanya.

Sebelum ini, pada 16 Feb, 2024 Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim merasmikan majlis pecah tanah BKIP 3 dan menyifatkan taman perindustrian itu sebagai paparan kejayaan besar Pulau Pinang dalam sektor perindustrian.

BKIP 3 merupakan taman perindustrian kesepuluh dimajukan PDC yang merupakan kesinambungan kepada Taman Perindustrian Batu Kawan.

Ketika ini PDC dilaporkan sedang membangunkan tiga taman perindustrian baharu BCTP, BKIP3 dan Penang Science Park South (SPSP) seluas 70.4 hektar di daerah Seberang Perai Selatan melibatkan jumlah pelaburan mencecah RM3.2 bilion.

Ketiga-tiga taman perindustrian tersebut merupakan kawasan yang mula dibangunkan pada 2022 dan dijangka lengkap sepenuhnya pada 2031.          

-- BERNAMA       


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan