JENAYAH & MAHKAMAH

Op Global: Terdapat Unsur Penderaan Fizikal, Emosi Terhadap Mangsa - KPN

17/09/2024 02:11 PM

KUALA LUMPUR, 17 Sept (Bernama) -- Hasil ujian saringan kesihatan terhadap 392 kanak-kanak yang diselamatkan dari rumah amal dikaitkan Global Ikhwan Service and Business Holding (GISBH) menerusi Ops Global mendapati terdapat unsur penderaan fizikal dan emosi terhadap mangsa.

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata ujian saringan kesihatan melibatkan 202 kanak-kanak lelaki dan 190 kanak-kanak  perempuan selesai dijalankan oleh Kementerian Kesihatan  (KKM) semalam dan ia memerlukan penilaian lanjut terutama berkaitan kesihatan emosi kesemua mangsa yang diselamatkan. 

“Elemen jenayah pertama yang kita kesan berlaku kepada mangsa, ialah penderaan fizikal dan emosi seperti mana kita maklum terdapat video tular di media sosial menunjukkan mangsa dipukul, disebat dan ditekan dadanya serta pengantunan kanak-kanak.

“Selain itu, terdapat juga elemen buruh dan eksploitasi kanak-kanak dengan mereka yang berumur bawah 18 tahun dipaksa bekerja menjual barang. Siasatan polis juga mendapati terdapat unsur pengabaian kanak-kanak berlaku selain menghadapi masalah kekurangan zat makanan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media berhubung perkembangan Op Global yang diadakan di Mess Pegawai Kanan Pusat Latihan Polis (Pulapol) di sini hari ini.

Turut hadir Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain.

Turut sama pada sidang media berkenaan ialah Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee, Pakar Perunding Kecemasan Kementerian Kesihatan (KKM)  Dr Noorzilawati Ahmad dan wakil Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Wan Noraidah Wan Mohd Zain.

Mengenai kebajikan mangsa, Razarudin berkata sebanyak 149 mangsa kanak-kanak berumur satu hingga 10 tahun telah diberikan perintah jagaan sementara oleh JKM. 

“Perintah jagaan sementara ini mengikut Seksyen 25 (2) Akta Kanak-Kanak 2001 dan mereka telah dipindahkan di empat tempat perlindungan selamat manakala baki 243 orang masih ditempatkan di Pulapol Kuala Lumpur dan akan dipindahkan ke pusat jagaan sementara secara berperingkat,” katanya.

Pada masa sama, beliau berkata polis membekukan 96 akaun milik syarikat GISB yang telah dikenal pasti mengikut Seksyen 44 (1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLATFPUAA) 2001.

“Akaun yang kita bekukan melibatkan nilai  RM581,552.31 dan empat akaun dikenakan perintah untuk ditutup. Selain itu, polis turut menyita lapan buah kenderaan milik syarikat tersebut,” katanya.

Sementara itu, Razarudin berkata identiti ibu bapa kebanyakan kanak-kanak yang diselamatkan itu sudah dikenal pasti namun setakat ini tiada yang tampil membuat pengakuan.

“...kebanyakannya adalah anak-anak ahli. Mereka tidak tampil kerana mungkin tidak tahu bahawa anak telah diselamatkan atau mungkin kerana GISBH sebelum ini mengaku bahawa kesemua anak-anak berkenaan adalah anak yatim.

“Selain itu, ia juga disebabkan ada antaranya pada awal perkahwinan ahli GISB tidak didaftarkan, menyebabkan anak yang lahir dibin atau dibintikan dengan Abdullah,” katanya.

Pada masa sama, Razaruddin berkata hanya dua daripada 20 rumah perlindungan yang menempatkan kanak-kanak berkenaan semasa diserbu dalam Op Global 11 Sept lepas, berdaftar dengan JKM.

Dalam serbuan pada 11 Sept lepas, polis menyelamatkan 402 kanak-kanak dan remaja, terdiri daripada 201 lelaki dan 201 perempuan berusia antara satu hingga 17 tahun, yang disyaki menjadi mangsa eksploitasi di 18 rumah amal di Selangor dan dua di Negeri Sembilan menerusi Op Global.

Hasil serbuan juga mendedahkan berlaku kesalahan pengabaian serta penganiayaan terhadap kanak-kanak dan remaja yang juga penghuni di rumah amal terlibat dan susulan itu 171 individu ditahan, termasuk 105 wanita.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan