SUKAN

Anjur Bengkel Bentangkan Idea Penswastaan Harimau Malaya - Presiden FAP

17/09/2024 06:23 PM

KUALA LUMPUR, 17 Sept (Bernama) -- Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) diminta mengadakan bengkel untuk ahli gabungan mereka bagi membincangkan idea penswastaan pasukan bola sepak lelaki kebangsaan.

Presiden Persatuan Bolasepak Pulau Pinang (FAP) Mohd Azizudin Mohd Shariff turut memohon agar FAM membincangkan idea itu dengan terperinci dan membentangkannya kepada Kongres FAM.

“Perkara ini perlu dibawa kembali kepada ahli gabungan untuk diteliti secara menyeluruh. Jika perlu, adakan bengkel untuk membincangkan segala aspek persediaan pasukan kebangsaan dan laluan kerjaya bagi pelatih di peringkat akar umbi. 

"Jika dapatan daripada bengkel menjurus kepada impak yang lebih baik kepada pasukan kebangsaan, teruskan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Walaupun menganggap cadangan menswastakan Harimau Malaya sebagai murni, Presiden Persatuan Bolasepak Sarawak Abang Zulkarnain Abdurahman pula meminta pucuk pimpinan FAM memikirkan semasak-masaknya implikasi dasar sebegitu sebelum mengambil sebarang tindakan lanjut.

Abang Zulkarnain yang pernah menjawat jawatan Penolong Setiausaha Agung FAM turut menggesa agar FAM dan urus setianya melakukan kajian perbandingan dengan negara lain serta analisis yang mengambil kira kekuatan, kelemahan, peluang dan ancaman terhadap idea berkenaan.

“FAM juga harus melihat sama ada kaedah terdahulu seperti akaun berbeza untuk pengurusan skuad Barcelona 1992 dan skuad Projek Piala Dunia Belia 1997 cukup berkesan atau apakah ada keperluan untuk satu pasukan tadbir urus berbeza mengendalikan Harimau Malaya,” katanya.

Setiausaha Persatuan Bolasepak Selangor Izrin Nabil Ismail pula mahu FAM tidak terburu-buru seandainya cadangan itu masih lagi di peringkat perbincangan selain berpendapat ahli gabungan perlu diberi hak bersuara dalam menentukan dasar dan hala tuju bola sepak tempatan.

“Walaupun pucuk pimpinan FAM diberi mandat membuat keputusan-keputusan tertentu berhubung hala tuju bola sepak negara, sebarang dasar membabitkan Harimau Malaya perlu mengambil maklum balas pemegang taruh lain," katanya.

Dalam satu perkongsian di laman sosial baru-baru ini, Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail melontarkan idea agar pasukan kebangsaan bergerak berasingan atau dalam erti kata lain diswastakan, termasuk berkongsi sistem, peranan dan carta organisasi badan bebas itu.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan