AM

Selangor Tidak Terima Laporan Rumah Bawah LPHS Dibeli GISBH

17/09/2024 06:28 PM

KUALA SELANGOR, 17 Sept (Bernama) -- Kerajaan Selangor tidak menerima laporan daripada Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) mengenai sama ada terdapat kediaman di bawah mereka dibeli atau dimiliki oleh Global Ikhwan Services and Business Holding (GISBH).

Exco Perumahan dan Kebudayaan negeri Datuk Borhan Aman Shah mengesahkan perkara tersebut namun tidak dapat memastikan jika ada kediaman yang dibeli secara milikan individu yang terkait dengan GISBH.

“Dari segi permohonan dalam (sistem) LPHS, memang tiada (pembelian rumah) dalam bentuk syarikat (GISBH) tetapi jika melibatkan individu, saya tidak tahu.

“Bagaimanapun, kita sedia bekerjasama dengan pihak berkuasa bagi memastikan tidak berlaku sebarang permasalahan,” katanya selepas melancarkan program Publisiti dan Penyertaan Awam Draf Rancangan Tempatan Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) di Bandar Puncak Alam hari ini.  

Borhan berkata kerajaan negeri boleh mengambil tindakan undang-undang sekiranya perumahan itu disalahgunakan pihak tertentu.

"Jika ada aduan, kita boleh ambil tindakan atas kesalahan seperti menyewakan kepada warga asing, melakukan aktiviti komersial dan menganggu-gugat ketenteraman awam atau menyalahi undang undang.

"Tindakan maksimum boleh diambil termasuk sitaan selain penguatkuasaan seperti pemotongan bekalan elektrik dan sudut perundangan lain," katanya. 

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain sebelum ini dilaporkan berkata sebanyak 39 lagi rumah amal di seluruh negara kendalian GISBH berada dalam radar pemantauan Polis Diraja Malaysia (PDRM) susulan dakwaan berlakunya eksploitasi kanak-kanak.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan akan ada tindakan lanjut susulan serbuan ke atas 20 rumah amal GISBH di Selangor dan Negeri Sembilan baru-baru ini.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan