EKONOMI

Supermax Mulakan Pengeluaran Sarung Sarung Komersial Di Kilang Di AS Pada Januari 2025

17/09/2024 09:10 PM

KUALA LUMPUR, 17 Sept (Bernama) -- Supermax Corporation Bhd (Supermax) dijadualkan memulakan pengeluaran sarung tangan secara komersial di kemudahan perkilangan pertamanya di Amerika Syarikat (AS) yang terletak di Texas menjelang Januari tahun depan.

Kemudahan tersebut dijangka menghasilkan sehingga 4.8 bilion sarung tangan setahun.

Pengasas dan Pengerusi Eksekutif Supermax Datuk Seri Stanley Thai berkata kilang di AS itu menggunakan proses pembuatan pintar dengan kawalan proses digital dan pembuatan automatik sepenuhnya. 

“Pendekatan ini mengurangkan kebergantungan kami terhadap tenaga kerja buruh kasar dan memanfaatkan teknologi terkini termasuk kecerdasan buatan, automasi dan robotik,” katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.

Supermax berkata melalui anak syarikat milik penuhnya, Maxter Healthcare Inc. (Maxter), mereka akan memulakan ujian dan pengoperasian barisan pengeluaran pertama produk berkenaan pada Disember 2024.

“Pembinaan bangunan pembuatan Supermax (B2A) dan pusat pergudangan serta pengedaran (B5) di Brazoria County, Texas, telah siap pada Disember 2023 hasil usaha bersama pasukan Supermax Healthcare Inc dan Maxter di AS.

“Pasukan teknikal dari Malaysia telah dihantar untuk pemasangan peralatan pembuatan dan pengoperasian kilang tersebut,” katanya.

Sementara itu, syarikat tersebut berkata keputusan Wakil Perdagangan AS (USTR) untuk menaikkan tarif ke atas import sarung tangan perubatan dari China sebanyak 50 peratus pada 2025 dan 100 peratus pada 2026 dilihat sebagai kelebihan penting bagi pengeluar domestik di AS.

-- BERNAMA

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan