AM

2,051 Kes Denggi, Dua Kematian Direkodkan Di Kelantan - JKNK

18/09/2024 12:00 PM

KOTA BHARU, 18 Sept (Bernama) -- Sebanyak 2,051 kes denggi dilaporkan di Kelantan dari 1 Jan hingga 7 Sept lepas iaitu meningkat 8.4 peratus berbanding 1,892 kes bagi tempoh sama tahun lepas.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) Datuk Dr Zaini Hussin berkata daripada jumlah itu, dua kematian direkodkan setakat ini.

"Sebanyak 129 wabak denggi dilaporkan setakat 7 Sept lepas berbanding 150 wabak bagi tempoh sama tahun lepas.

"Daripada jumlah itu, 96 wabak telah tamat manakala 33 wabak masih aktif. Tujuh lokaliti wabak ‘hotspot’ berlaku di Kelantan iaitu dua lokaliti masih aktif dan selebihnya sudah tamat," katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Dr Zaini berkata pihaknya juga telah memeriksa 365,741 premis dan hasilnya 1,732 kompaun dengan nilai RM866,000 dikeluarkan kepada pemilik premis kerana terdapat pembiakan Aedes dalam premis mereka mengikut Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit 1975 (Akta 154).

"JKNK giat menjalankan aktiviti kawalan serta pencegahan untuk semua kes dan wabak denggi yang dilaporkan bagi memutuskan rantaian jangkitan termasuk kawalan vektor, pemeriksaan premis, semburan kabus, penghapusan tempat pembiakan dan pendidikan kesihatan," katanya.

Beliau berkata semua lapisan masyarakat di negeri ini juga perlu memainkan peranan dengan setiap isi rumah wajib meluangkan masa 10 minit setiap minggu untuk mencari dan memusnahkan tempat pembiakan nyamuk Aedes di dalam serta luar kediaman atau premis masing-masing selain gotong-royong satu jam setiap bulan.

"Ia merangkumi aktiviti membersihkan kawasan persekitaran taman, kampung, pejabat, tempat kerja, sekolah, institusi pengajian tinggi dan sebagainya selain disarankan melakukan semburan aerosol bagi membunuh nyamuk dewasa di dalam rumah," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan