AM

Kelantan Rancang Pindah Zon Bebas Cukai Rantau Panjang Ke Lokasi Lain - Exco

18/09/2024 10:35 AM

KOTA BHARU, 18 Sept (Bernama) -- Kerajaan Kelantan merancang untuk memindahkan Zon Bebas Cukai Rantau Panjang di Pasir Mas ke lokasi yang lebih sesuai dan strategik pada masa hadapan.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri Datuk Kamarudin Md Nor berkata setakat ini perkara tersebut masih di peringkat kajian berikutan kawasan berkenaan berdekatan dengan penduduk sekitar. 

"Rancangan kita supaya lokasi yang baharu lebih sesuai dan pihak kami sedang membuat tinjauan lokasi yang bertepatan untuk memindahkan zon bebas cukai terbabit," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pesta Tanglung Kelantan 2024 di sini malam tadi.

Sementara itu, mengulas mengenai ribuan penduduk negeri ini yang berkunjung ke selatan Thailand pada musim cuti sekolah, Kamaruddin berkata perkara itu perlu dilihat secara positif kerana rakyat dari negara tersebut juga berkunjung ke Malaysia.

"Apa yang kita lihat hanya rakyat negeri ini berkunjung ke sana (Thailand) tetapi perkara sebaliknya juga berlaku apabila data daripada Jabatan Imigresen menunjukkan sejak awal Januari hingga Jun terdapat lebih 800,000 kemasukan pelancong dari Thailand melalui tiga pintu masuk di sempadan negara.

"Saya sendiri pada awalnya agak kurang percaya namun itulah data yang direkodkan oleh Jabatan Imigresen, malah rekod itu turut menunjukkan kedatangan pelancong dari negara lain termasuk Eropah," katanya.

Beliau berkata data yang dikeluarkan juga menunjukkan 700,000 kemasukan pengunjung ke Kelantan melalui laluan udara sekali gus mencatatkan jumlah pelancong ke negeri ini sebanyak 1.5 juta orang dalam tempoh enam bulan pertama.

"Itu belum lagi dikira kedatangan melalui bas dan keretapi, sekiranya tiada apa-apa halangan diyakini sasaran kedatangan pelancong ke Kelantan boleh mencapai 3 juta orang pada penghujung tahun ini," katanya.

-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan