AM

MAHA 2024: KKDW Sasar Nilai Jualan RM500,000 - Ahmad Zahid

18/09/2024 07:34 PM

SERDANG, 18 Sept (Bernama) -- Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) menyasarkan nilai jualan sebanyak RM500,000 di Laman Usahawan Desa@MAHA 2024 sepanjang 12 hari penganjuran Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2024.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata setakat ini nilai jualan yang direkodkan di laman berkenaan yang menerima kira-kira 100,000 pengunjung adalah sebanyak RM360,000.

“Kita ada 170 usahawan desa di bawah MARA (Majlis Amanah Rakyat) dan beberapa lembaga kemajuan wilayah.

“Ini pertama kali kami (KKDW) ada pavilion (laman) sendiri di MAHA, sebelum ini kami hanya ada gerai sahaja. Terima kasih kepada KPKM (Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan),” katanya kepada pemberita selepas meninjau Laman Usahawan Desa@MAHA 2024 di sini hari ini.

Laman Usahawan Desa@MAHA 2024 dijayakan oleh 170 usahawan desa dari beberapa agensi antaranya MARA, Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang, Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah, Jabatan Kemajuan Orang Asli dan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah.

Pelbagai aktiviti diadakan di laman itu antaranya jualan usahawan, pameran agensi di bawah KKDW, persembahan pelancongan desa dan perkhidmatan spa daripada pelajar Pendidikan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

Ahmad Zahid turut berbangga dengan gerak kerja KPKM di bawah pimpinan Datuk Seri Mohamad Sabu kerana pameran yang sedang berlangsung di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) itu setakat ini telah merekodkan seramai 2.3 juta pengunjung.

“Tahniah kepada Mohamad kerana MAHA kali ini nampaknya cukup berjaya. Sasaran mereka (KPKM) tiga juta pengunjung tetapi hari ini (hari kelapan) telah merekodkan kira-kira 2.3 juta pengunjung,” katanya.

Bertemakan ‘Menuai Harapan Membina Masa Hadapan’, MAHA 2024 yang memasuki edisi ke-100 itu menyasarkan kira-kira RM6 bilion nilai perjanjian persefahaman serta RM40 juta nilai jualan langsung.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan