FOKUS BERNAMA

Orang Muda Jangan Remehkan Penyakit Jantung - Pakar

26/09/2024 11:54 AM
Daripada Nurqalby Mohd Reda

Artikel ini bersempena dengan sambutan Hari Jantung Sedunia pada setiap 29 Sept.

 

Penyakit jantung merupakan punca utama kematian di seluruh dunia, dan menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia, kira-kira 23.6 juta penduduk dunia dijangka menghidap penyakit jantung kronik menjelang 2030.

Di  Malaysia, Kementerian Kesihatan melaporkan beban penyakit berkaitan jantung meningkat daripada 11.6 peratus pada 2000 kepada 17 peratus pada 2020.

Paling membimbangkan kata pakar, penyakit ini tidak lagi mengenal usia sekalipun pada satu ketika dahulu sebahagian besar kes melibatkan orang tua.

 

ORANG MUDA

Pakar Perunding Kardiologi Pusat Perubatan Sunway Dr Patrick Tiau berkata berdasarkan data terbaharu di Malaysia, purata umur pesakit serangan jantung ialah antara 50 dan 60 tahun, namun kes melibatkan golongan berusia 30-an dan 40-an semakin meningkat.

“Sehubungan itu, daripada kajian-kajian sedia ada, kita boleh rumuskan bahawa terdapat peningkatan penyakit jantung yang berlaku pada orang muda, dan realitinya, setiap orang ada kemungkinan untuk mengalami masalah jantung tanpa melihat pada usia,’’ katanya kepada Bernama, di sini baru-baru ini

Berdasarkan maklumat terkini Pangkalan Data Kardiovaskular Kebangsaan (NCVD), purata umur pesakit serangan jantung di Malaysia ialah 57 tahun, iaitu lebih muda berbanding umur pesakit di negara maju.

Lebih membimbangkan, NCVD turut merekodkan kira-kira 24 peratus pesakit serangan jantung merupakan mereka yang berumur bawah 50 tahun.

Menurut Dr Patrick, penyakit jantung yang kerap dialami oleh golongan berkenaan termasuklah penyakit jantung iskemik dan serangan jantung.

pic-2

“Penyakit jantung iskemik berlaku apabila kekurangan pembekalan darah ke bahagian jantung. Keadaan ini biasanya disebabkan oleh proses arteriosklerosis, iaitu penumpukan (accumulation) plak kolesterol atau lemak di salur darah dan menyebabkan penyempitan secara progresif.

“Gejala ini hampir sama dengan serangan jantung, tetapi penyakit jantung iskemik biasanya berlaku secara kronik dan progresif, keadaan di mana aliran darah ke jantung semakin berkurang dari masa ke masa. Pesakit biasanya pernah mengalami tanda-tanda seperti sakit dada dan sesak nafas, terutama ketika bersenam,” jelasnya.

(Arteriosklerosis merujuk keadaan dinding arteri menjadi keras, tebal dan hilang kekenyalan.)

Serangan jantung pula kata Dr Patrick, berlaku apabila pengaliran darah terhenti sepenuhnya dan menyebabkan kerosakan atau kematian sel-sel jantung.

“Keadaan ini boleh berlaku secara tiba-tiba atau mengejut, iaitu individu itu mungkin tidak pernah mengalami sebarang tanda (lazim berkaitan penyakit jantung) sebelum ini, atau disifatkan sebagai seorang yang berada dalam kategori sihat,” tambah beliau.

Sehubungan itu katanya, amat penting untuk setiap indvidu cakna kesihatan jantung masing-masing semasa di usia muda lagi dan memastikan kesihatan keseluruhan pada tahap terbaik.

 

GAYA HIDUP

Mengulas lanjut, Dr Patrick berkata terdapat banyak faktor yang menyebabkan golongan muda berisiko mengalami masalah jantung, antaranya ialah gaya hidup tidak sihat.

“Gaya hidup tidak sihat termasuk merokok yang ketika ini menjadi trend membimbangkan dalam kalangan remaja, membuatkan seseorang itu lebih cenderung mendapat penyakit jantung.

“Masyarakat hanya berpandangan merokok penyebab masalah pernafasan dan kanser paru-paru, namun tidak ramai yang tahu mereka yang kerap merokok, dua hingga empat kali ganda berisiko mendapat penyakit jantung,” katanya.

pic-3

Jelas beliau, ini kerana kesan nikotin yang terkandung di dalam rokok boleh menjadikan salur darah menebal dan menyempit sehingga menyukarkan aliran darah ke jantung.

Keadaan ini katanya, berpotensi menyebabkan sebahagian daripada tubuh seseorang mungkin menjadi lumpuh dan mengakibatkan maut.  

Tambah beliau, tekanan atau stres juga menyumbang kepada risiko penyakit jantung dalam kalangan orang muda.

“Ramai tidak sedar, mereka yang berada dalam tekanan (lazimnya) secara tidak langsung menjalani gaya hidup tidak sihat, iaitu merokok, makan secara berlebihan dan kurang tidur, sekali gus berisiko menjejaskan kesihatan secara am dan mudah mendapat penyakit jantung kronik.

“Justeru, mereka perlu bijak menangani stres serta menjauhi amalan gaya hidup tidak sihat serta menjaga pemakanan sedari usia muda (bagi mengelakkan risiko penyakit jantung)," tegasnya, dan menambah golongan muda perlu ambil tahu segala aspek berkaitan masalah jantung termasuk simptom awal.

 

PERIKSA JANTUNG

Selari dengan tema Hari Jantung Sedunia tahun ini iaitu “Use Heart for Action”, Dr  Patrick menyarankan agar ahli masyarakat lebih proaktif dalam membendung penyakit itu dengan melakukan pencegahan.

Antaranya ialah melakukan saringan dan pemeriksaan kesihatan menyeluruh termasuk jantung secara berkala.

“Lebih-lebih lagi bagi mereka yang berisiko tinggi, iaitu perokok dan mereka yang mempunyai sejarah ahli keluarga menghidap penyakit jantung, diabetes atau tekanan darah tinggi,” katanya.

pic-4

Tambah beliau, pemeriksaan darah juga boleh membantu mengesan paras kolesterol dalam darah serta kencing manis, iaitu dua keadaan yang meningkatkan risiko penyakit jantung.

“Orang ramai juga boleh menjalani Ujian Tekanan Senaman atau Exercise Stress Test (EST), iaitu  ujian saringan jantung yang membolehkan individu mengetahui tahap kesihatan jantung masing-masing.

“Ujian ini juga dapat mengesan sama ada seseorang individu itu  berisiko tinggi mendapat serangan jantung atau sebaliknya,” katanya.

Pada masa sama, beliau berkata kerjasama antara sektor kesihatan dan sektor pendidikan juga penting bagi meningkatkan kesedaran masyarakat tentang penyakit jantung di Malaysia memandangkan isu kekurangan kesedaran merupakan masalah yang merentasi pelbagai usia.

“Organisasi kesihatan awam dan swasta boleh menyediakan kepakaran dan sumber, manakala institusi pendidikan dapat memudahkan intervensi awal menerusi penyebaran pengetahuan berkaitan dengan penyakit jantung.

“Pendekatan kerjasama ini pastinya akan mewujudkan masyarakat yang lebih berpengetahuan serta prihatin terhadap kesihatan, dan ini juga akan membantu mengurangkan kes penyakit jantung, sekali gus meningkatkan kesihatan awam secara keseluruhan,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

 

 

 

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan