SUKAN

Tuah ‘Kolam Emas’ Di Bumi Kenyalang, Sarawak Mahu Lahir Atlet Bertaraf Dunia

28/09/2024 09:28 AM

KUCHING, 28 Sept (Bernama) -- Walaupun Sarawak telah disahkan sebagai juara keseluruhan acara kolam renang pada Para Sukan Malaysia (Para SUKMA) 2024, tuan rumah masih belum mahu berehat, apabila kini sibuk merangka pelan strategik melahirkan atlet bertaraf dunia yang mampu diketengahkan dalam skuad kebangsaan.

Perkembangan itu dikongsikan oleh Ketua Jurulatih Renang Sarawak Sarini @ Syarbini Kedri, yang memaklumkan sebanyak lima jurulatih lain telah diletakkan di beberapa bahagian berbeza seperti Miri, Sibu dan Kuching, bagi memastikan tiada bakat baharu yang terlepas pandang dan dapat dicungkil dengan sebaiknya.

“Alhamdullilah atas juara keseluruhan carta pingat renang dan melepasi sasaran 15 pingat emas kepada 17. Kejayaan ini pertamanya sebab kita sebagai tuan rumah. 

“Kedua kita memang ada buat perubahan atlet baharu di samping atlet elit yang sudah berada dalam skuad kebangsaan. Cita-cita kami (sebagai jurulatih) adalah untuk melihat atlet para renang mewakili negara, ada yang datang dari Sarawak,” katanya ketika ditemui Bernama.

Sarini bagaimanapun memaklumkan, pihaknya masih memerlukan masa yang bersesuaian untuk memastikan usaha berkenaan dapat dicapai sepenuhnya dan memberikan hasil diharapkan, namun tidak menyangkal impian berkenaan mampu menjadi realiti bak kata pepatah, ‘sesungguhnya usaha tidak pernah mengkhianati hasil.’

Sarawak yang menghantar 27 perenang secara keseluruhan dengan dua daripadanya merupakan atlet wanita, berjaya meraih 42 pingat, terdiri daripada 17 pingat emas, 13 perak dan 12 gangsa, sekali gus menggungguli carta keseluruhan, selepas sukan renang melabuhkan tirai di Pusat Akuatik Pandelela Rinong pada Khamis (26 Sept).

Pencapaian itu merupakan satu keputusan yang membanggakan, apabila edisi lepas menyaksikan kontinjen Sarawak hanya memperoleh enam pingat emas daripada acara kolam renang.

Lebih membanggakan apabila anak jati Bumi Kenyalang Fraidden Dawan, 38, mengumpul enam emas menerusi kategori 100 meter (m) gaya kuak dada SB9 (kecacatan fizikal), 100m gaya kuak lentang S10, 4x100 gaya bebas 34 mata, 50m gaya bebas S10, 100m gaya bebas S10 dan 4x100m rampaian 34 mata.

Sementara itu, Sabah berada di kedudukan kedua dengan 16 pingat emas, lapan perak dan tiga gangsa manakala Selangor (12-10-8) di tempat ketiga.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan