AM

Kerajaan Sediakan Pelbagai Bantuan Untuk Perkasa Ekonomi Masyarakat India - Ramanan

28/09/2024 02:45 PM

KUALA LUMPUR, 28 Sept (Bernama) -- Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Seri R.Ramanan menyifatkan pihak yang melemparkan dakwaan serta tomahan kononnya Kerajaan MADANI meminggirkan ekonomi komuniti India sebagai ‘tidak siuman’.

Beliau berkata pelbagai bantuan berkaitan pemerkasaan ekonomi masyarakat India telah diperkenalkan kerajaan, antaranya Skim Pembiayaan Pemerkasaan (SPUMI) Goes Big; Prosperity Empowerment and A New Normal (PENN), Bank Rakyat Indian Entrepreneur Financing-i (BRIEF-i) dan Business Accelerator Programme for Indian Small Business (I-BAP).

“Pelbagai program untuk membantu masyarakat India disediakan, sambutan yang diterima sangat memberangsangkan...namun masih ada individu dan pihak di sana (pembangkang) dakwa kerajaan tak bantu orang India, masih persoalkan.

“Ada dua, tiga ‘orang tidak siuman’ ini cakap PM (Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim) tidak kisah dengan komuniti India, sedangkan (sebenarnya) banyak bantuan diberi. Kalau nak kritik, bercakaplah secara waras dan bukannya reka dakwaan serta tomahan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Persidangan Tahunan Perwakilan Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian India Malaysia (MAICCI) Ke-73 bagi Tahun 2024, di ibu negara, hari ini.

Ramanan berkata sebagai inisiatif bagi memperkasakan ekonomi masyarakat India, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi akan memperkenalkan satu lagi program baharu iaitu Empowering Indian Entrepreneurs, yang bertujuan bagi memberi latihan kepada usahawan daripada komuniti itu.

Beliau berkata MAICCI akan menjadi rakan strategik kementerian bagi melaksanakan program tersebut yang memfokuskan kepada penyediaan latihan kepada peserta dalam bidang perniagaan, keusahawanan dan penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI).

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan