AM

Lebih 46 Tan Sampah Dikumpul Menerusi Program Pembersihan Mega Peringkat Perlis

28/09/2024 06:16 PM

KANGAR, 28 Sept (Bernama) -- Sebanyak 46.83 tan sampah dikumpulkan menerusi Program Pembersihan Mega peringkat negeri Perlis yang berlangsung di 13 lokasi serentak di seluruh negeri itu hari ini sempena Hari Cuci Malaysia 2024.

Menteri Besar Perlis Mohd Shukri Ramli berkata gotong-royong mega yang melibatkan ketiga-tiga kawasan Parlimen negeri iaitu Kangar, Arau dan Padang Besar itu antara usaha kerajaan negeri menyokong hasrat Kerajaan Persekutuan yang melancarkan Hari Cuci Malaysia 2024 peringkat kebangsaan hari ini.

“Penyertaan kerajaan negeri Perlis dalam program ini juga dilihat selaras dengan hasrat dan matlamat negeri Perlis dalam menjayakan pelan serta dasar kebersihan negeri yang meliputi Agenda Perlis Bersih Sihat 2021-2025, Penubuhan Jawatankuasa Khas Program Perlis Bersih Indah dan Penubuhan Jawatankuasa Task Force ‘Perlis Menawan’,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Pembersihan Mega peringkat negeri di sini hari ini yang turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pembangunan Sumber Manusia dan Pembasmian Kemiskinan Perlis Asrul Aimran Abd Jalil.

Mohd Shukri mengharapkan program seumpama itu dapat menyemai minda sifar sampah dalam kalangan rakyat di negeri ini dan menjadikan Perlis bersih serta indah sepanjang masa.

Sementara itu, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kangar Perlis (MPKPs) Affendi Rajini Kanth memberitahu Bernama yang pihaknya akan menguatkuasakan larangan membuang sampah merata-rata di kawasan awam di Perlis mengikut peruntukan akta di bawah MPKPs dalam tempoh terdekat.

“Sebenarnya kita memang dalam proses untuk kuat kuasakan benda ini (larangan membuang sampah itu), kita dah bersepakat dengan SWCorp (Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam), akta ini di bawah MPKPs dan kita akan segerakan susulan kesinambungan Hari Cuci Malaysia ini,” katanya.

Affendi berkata pihaknya boleh menyaman mana-mana individu yang didapati membuang sampah merata-rata dengan kompaun serta-merta iaitu maksimum RM350 atau didenda RM500 oleh mahkamah jika sabit kesalahan.

Sehubungan itu, beliau mengajak semua rakyat Perlis untuk sama-sama menjaga kebersihan dengan tidak membuang sampah merata-rata dan sayangi negeri itu.

 Hari ini, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming merasmikan Hari Cuci Malaysia: Program Pembersihan Mega Sempena World Cleanup Day 2024 di Kuala Lumpur.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan