EKONOMI

Untung Bersih Yinson Turun Kepada RM203 Juta Bagi Suku Kedua

30/09/2024 04:55 PM

KUALA LUMPUR, 30 Sept (Bernama) -- Yinson Holdings Bhd (Yinson) mencatatkan keuntungan bersih lebih rendah iaitu RM203 juta pada suku kedua berakhir 31 Julai, 2024 berbanding RM230 juta yang dicapai pada suku sama tahun kewangan 2024.

Perolehan juga turun kepada RM2.14 bilion daripada RM3.11 bilion bagi tempoh yang sama, terutamanya disebabkan sumbangan yang lebih rendah daripada aktiviti perniagaan kejuruteraan, pemerolehan, pembinaan, pemasangan dan pengoperasian (EPCIC).

Menerusi kenyataan kepada Bursa Malaysia hari ini, Yinson menjelaskan ini berikutan kemajuan rendah yang dicapai oleh unit penyimpanan dan pemindahan pengeluaran terapung (FPSO) yang sedang dibina pada suku tersebut.

Bagi separuh pertama tahun kewangan 2025, syarikat itu mencatatkan keuntungan bersih yang lebih rendah iaitu sebanyak RM406 juta berbanding RM438 juta dalam tempoh sama tahun kewangan sebelumnya manakala perolehan merosot kepada RM4.36 bilion daripada RM6.13 bilion.

Mengenai prospek, Yinson memaklumkan pasaran FPSO merekodkan permintaan kukuh untuk kontraktor seperti Yinson yang mempunyai kelebihan dalam teknologi pengurangan karbon selain rekod prestasi penghantaran tepat masa serta prestasi keselamatan dan operasi yang baik.

“Permintaan terhadap FPSO adalah positif dengan peningkatan kebenaran projek di seluruh dunia khususnya dari Brazil yang merupakan pusat permintaan FPSO tertinggi, diikuti oleh Afrika Barat.

“Apabila FPSO Atlanta, FPSO Maria Quitéria dan FPSO Agogo memulakan tempoh carter dalam satu atau dua tahun akan datang, syarikat akan beralih ke fasa pertumbuhan yang stabil, selain bersedia mencatatkan aliran pendapatan yang stabil dan terjamin bagi beberapa dekad akan datang,” jelasnya.

Sementara itu, Yinson juga mengisytiharkan dividen interim kedua satu peringkat sebanyak satu sen setiap saham bagi tahun kewangan 2025, dengan tarikh kelayakan dan pembayaran akan ditentukan kemudian.

Semasa rehat tengah hari Isnin, harga saham Yinson turun empat sen kepada RM2.64 sesaham dengan 1.49 juta saham diniagakan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan