EKONOMI

GLIC Tegaskan Komitmen Sokong Kerangka Ekonomi Madani, Pacu Pertumbuhan

30/09/2024 06:46 PM

JOHOR BAHRU, 30 Sept (Bernama) -- Syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) terus menegaskan komitmen bersama bagi menyokong kerangka Ekonomi MADANI dengan memanfaatkan penyasaran modal dalam sektor pertumbuhan dan bernilai tinggi.

Penegasan itu dizahirkan pada Persidangan Invest Malaysia Iskandar 2024 bertemakan ‘Where Policy Meets Progress’ di Iskandar Puteri dekat sini, baru-baru ini.

Pada satu sesi panel, barisan pemimpin GLIC daripada Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) atau KWAP, Khazanah Nasional Bhd (Khazanah) dan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT), mengetengahkan bidang tumpuan khusus masing-masing dalam inisiatif GEAR-uP diterajui Kementerian Kewangan yang menyasarkan pengumpulan RM120 bilion dalam tempoh lima tahun berikutnya bagi memangkin pertumbuhan ekonomi.

Ketua Pegawai Eksekutif KWAP Datuk Hajah Nik Amlizan Mohamed berkata KWAP sedang melaksanakan Peruntukan Aset Strategik baharu untuk mengoptimumkan lagi profil risiko pulangan portfolionya bagi tujuan mempelbagaikan lagi pelaburan dalam pasaran swasta.

“Ini seiring mandat kami untuk beroperasi dalam ruang minat risiko kami sambil memaksimumkan pulangan dan menyokong agenda nasional untuk membangunkan pasaran swasta domestik yang maju dan selaras dengan kerangka kerja Ekonomi MADANI," katanya dalam satu kenyataan.

Sehubungan itu, beliau berkata KWAP telah mengenal pasti antara lainnya tiga bidang tumpuan strategik iaitu pertanian dan keterjaminan makanan, industri semikonduktor dan ekosistem modal teroka. 

“Bagi bidang pertanian, matlamat kami adalah untuk meningkatkan keterjaminan makanan negara dengan menyokong perniagaan tani yang inovatif. Dalam sektor semikonduktor, pelaburan kami bertujuan meningkatkan kedudukan global Malaysia, melonjak daripada pembuatan asas kepada proses bernilai tinggi seperti reka bentuk cip dan pembungkusan yang rumit," katanya.

Menerusi inisiatif modal teroka KWAP, beliau berkata ini dapat memupuk ekosistem yang rancak dan menggalakkan lagi aspek keusahawanan, inovasi dan mengambil risiko.

“Pelaburan strategik ini dirangka untuk penjanaan nilai jangka panjang penting sambil menyumbang kepada kemajuan ekonomi Malaysia. Menerusi tumpuan terhadap sektor penting ini, KWAP berada dalam kedudukan untuk memacu inovasi, mewujudkan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi dan menyokong pertumbuhan ekonomi mampan untuk manfaat pihak berkepentingan utama selaras dengan slogan kami 'Teman Persaraan Anda'. 

“Pendekatan kami jelas satu komitmen terhadap pesara Malaysia dan kepentingan negara yang lebih luas, sekali gus mengukuhkan lagi peranan KWAP sebagai institusi pelaburan utama dalam landskap ekonomi Malaysia,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan Khazanah Datuk Amirul Feisal Wan Zahir pula menegaskan dana kekayaan negara itu akan terus memanfaatkan kedudukan strategiknya untuk menggunakan modal merentasi pelaburan teroka dengan inisiatif Dana-Dana Negara, termasuk program akan datang syarikat peringkat pertengahan serta usaha dalam semikonduktor.

Ini juga selaras dengan rangka kerja Khazanah ‘A Nation that Creates’ yang menumpukan usaha meningkatkan produktiviti negara menerusi pelaburan dalam produktiviti, inovasi dan mentransformasi syarikat.

“Berikutan itu, kami akan menumpukan sektor kesalinghubungan, peralihan tenaga dan pendigitalan untuk menaikkan siling (ekonomi) untuk semua rakyat Malaysia.

Dari segi usaha menaikkan lantai (ekonomi), kami akan menekankan model pembangunan ekonomi mampan dengan tumpuan pembinaan kapasiti menerusi peningkatan kemahiran bakat dan kemahiran semula yang selaras dengan keperluan megatrend global hari ini dan masa depan," katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif LTAT Ashraf Radzi pula menekankan komitmen LTAT untuk meningkatkan penciptaan nilai farmaseutikal Malaysia dengan mengukuhkan kapasiti penghasilan produk biofarmaseutikal tempatan melalui syarikat pelaburannya, Pharmaniaga Bhd.

“Tumpuan strategik ini bertujuan mengurangkan kebergantungan selain memastikan keterjaminan bekalan produk-produk farmaseutikal yang penting selain meningkatkan akses awam terhadap bekalan penjagaan kesihatan.

“Pelaburan memajukan sektor farmaseutikal domestik dapat menyumbang kepada rantaian bekalan penjagaan kesihatan mampan dan memberi manfaat kepada rakyat Malaysia selain menambah nilai kepada ekonomi negara," katanya.

-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan