AM

Kerajaan Lancar MyPCVE, Pelan Tindakan Atasi Fahaman, Aktiviti Pelampau Keganasan

30/09/2024 06:19 PM

PUTRAJAYA, 30 Sept (Bernama) -- Kerajaan hari ini melancarkan Pelan Tindakan Malaysia Bagi Mencegah Dan Menangani Fahaman Pelampau Keganasan (MyPCVE) untuk melengkapi usaha tuntas membanteras aktiviti serta ideologi pelampau keganasan di dalam negara.

Pelan tindakan tersebut dibangunkan untuk menyelaras tindakan menangani ancaman fahaman pelampau keganasan bersandarkan kepada empat teras iaitu pencegahan, penguatkuasaan, pemulihan dan pengukuhan.

Ia menekankan isu ancaman fahaman pelampau keganasan secara holistik, merangkumi fahaman pelampau politik dan perkauman, sosial, agama dan elemen luar.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam ucapan pelancaran pelan tindakan itu berkata pelan tersebut perlu dilaksanakan secara tegas dan didedahkan kepada rakyat, lebih-lebih lagi apabila kini terdapat anasir dalam negara yang menggunakan elemen perkauman untuk menggugat keamanan.

"Siapa sangka bila kita capai kemerdekaan pada 1957, semua terima; Melayu, Cina, India dan kemudian pada 1963 bersama Sabah dan Sarawak, dan tercetus peristiwa 13 Mei (pada 1969). 

"Kita tahu pendebatan dan perusuhan kaum melalui kenyataan politk tahun-tahun sebelumnya, terutama dekat pilihan raya, kini sudah sampai ke satu tahap yang sangat sengit dan bahaya," katanya di sini. 

Perdana Menteri berkata MyPCVE juga perlu ditelaah, dihadam dan dilaksanakan supaya pihak berkuasa dapat mengenal pasti motif sebenar di sebalik setiap fahaman pelampau atau serangan keganasan yang berlaku.

"Masalah kita adalah obsesi terhadap keganasan tanpa memahami isu pokoknya. Kta menangani masalah keganasan, tapi kita tidak faham punca dan latar belakang di sebalik suatu isu itu.

Sementara itu Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail yang turut hadir berkata MyPCVE adalah berbeza dengan pelan tindakan yang diguna pakai di negara lain kerana ia melihat fahaman pelampau secara menyeluruh dan menggunakan pendekatan yang mengambil kira beberapa prinsip, dasar, dan nilai yang unik bagi Malaysia.

Beliau berkata selain menggariskan langkah penguatkuasaan yang tegas, pelan itu turut merangkumi 'soft approach' dalam menangani isu fahaman pelampau dan keganasan.

"Harapan kami di KDN kepada pelan yang akan diguna pakai pada 2024 hingga 2028, ia akan berhasil membantu mewujudkan keamanan dan ketenteraman dalam negara insya-Allah," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan