BALING, 2 Okt (Bernama) -- Kejadian yang menimpa pesara pegawai kewangan Felcra Sabari Baharom, 62, yang disyaki dicampak dalam keadaan tangan diikat dan mulut ditutup pita pelekat ke Sungai Padang Terap, di Jitra, menimbulkan kegelisahan kepada jiran warga emas itu.
Mohd Sukeri Karim, 61, berkata sejak mengetahui perkara tersebut dia mengambil langkah waspada dan berjaga-jaga termasuk mencatatkan nombor pendaftaran setiap kenderaan yang memasuki halaman rumahnya.
“Sejak mengetahui mengenai kejadian itu saya dan keluarga tidak dapat tidur lena dan teringatkan apa yang berlaku kepada Sabari kerana dia seorang yang sangat baik.
“Sekarang ini kalau ada kereta masuk terutama yang tidak dikenali kami terus rasa curiga dan akan catat nombor pendaftarannya. Pada waktu malam pula, ada saja bunyi kami akan terjaga dan meninjau keadaan di luar,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Mengkuang Tengah dekat sini hari ini.
Mohd Sukeri berkata selepas kejadian itu dia bercadang memasang kamera litar tertutup (CCTV) sekitar kawasan rumah sebagai langkah keselamatan.
Dia berkata kejadian yang berlaku ke atas Sabari memberi kesan amat besar ke atas diri dan keluarganya memandangkan sifat serta keperibadian Sabari yang sangat mengambil berat terhadap jiran serta penduduk kampung.
“Sabari sangat mengambil berat tentang saya dan akan datang ke rumah jika tak nampak saya ke masjid, dia pun akan beritahu saya jika nak ke mana-mana sama ada ke rumah anak-anak atau isterinya di Kuala Lumpur,” katanya.
Mohd Sukeri berharap jasad jirannya itu segera ditemui dan individu yang terlibat dibawa ke muka pengadilan bagi menerima balasan yang setimpal.
Imam Masjid Al-Mutmainnah Kampung Mengkuang, Saidin Husain, 65, pula menyifatkan Sabari seorang individu yang sangat baik dan sering menunaikan solat berjemaah di masjid itu.
“Sabari suka memberi makan kepada jemaah masjid dan sentiasa bercakap perkara yang baik-baik...dia juga ada dusun jadi setiap kali musim buah dia akan kongsi dengan jemaah dan ada waktu tertentu akan buat kenduri di masjid atau di rumahnya, apabila dia hilang seluruh jemaah turut bersedih,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan Sabari hilang sejak 4 Sept lepas dan kereta Proton Waja dinaikinya kemudian ditemukan hangus di Belantik, Sik.
Polis kemudian mengesahkan Sabari dicampak ke dalam Sungai Padang Terap dekat Jitra dalam keadaan tangan diikat dan mulut ditutup dengan pita pelekat dan menahan dua suspek lelaki berumur 26 serta 38 tahun, Jumaat lepas.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial