AM

Ahmad Zahid Mengadakan Pertemuan Dengan Datuk Bandar Kuala Lumpur

02/10/2024 07:57 PM

KUALA LUMPUR, 2 Okt (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini mengadakan pertemuan dengan Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Dr Maimunah Mohd Sharif.

Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah itu berkata banyak perkara yang dibincangkan dan Maimunah turut membawa pelbagai idea serta aspirasi untuk kesinambungan pembangunan infrastruktur dan kesejahteraan warga Kuala Lumpur.

“Insya-Allah, saya akan terus bersama dalam merealisasikan agenda pembangunan bandar, khususnya dalam menangani isu kesesakan lalu lintas, mempertingkatkan kehijauan bandar serta mempersiapkan Kuala Lumpur menjelang ASEAN 2025 serta Tahun Melawat Malaysia 2026,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook rasmi.

Ahmad Zahid berkata beliau yakin kerjasama erat antara kerajaan pusat dan pihak berkuasa tempatan sangat penting dalam memastikan setiap perancangan serta pembangunan berjalan lancar, memberi manfaat kepada rakyat selain mewujudkan persekitaran lebih baik untuk generasi akan datang.

Beliau turut memaklumkan menerima kunjungan hormat Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Colombo, Sri Lanka iaitu Badli Hisham Adam di pejabatnya. 

“Pelbagai isu berkaitan hubungan dua hala antara Malaysia dan Sri Lanka serta peluang kerjasama yang boleh diperkukuh di masa hadapan dibincangkan dalam pertemuan ini.

“Semoga hubungan antara Malaysia dan Sri Lanka akan terus berkembang kukuh seterusnya membuka lebih banyak peluang untuk kerjasama yang bermanfaat dan membawa kemakmuran kepada rakyat kedua-dua negara. Insya-Allah,” katanya.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan