AM

Kes Lahad Datu: Keputusan Mahkamah Setimpal Dengan Sifat, Kezaliman Tertuduh - Azalina

02/10/2024 10:02 PM

PUTRAJAYA, 2 Okt (Bernama) -- Keputusan Mahkamah Persekutuan mengekalkan hukuman mati terhadap tujuh lelaki warga Filipina adalah setimpal dengan sifat dan kezaliman mereka terhadap pasukan keselamatan negara yang terkorban dalam insiden pencerobohan di Kampung Tandou, Lahad Datu pada 2013.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said berkata ia juga satu keputusan yang positif kepada negara.

“Mereka ini kita lihat sebagai penderhaka dan mereka telah mewujudkan banyak kejadian yang menyaksikan anggota (pasukan keselamatan) kita menjadi mangsa.

“Bagi saya, apa yang mereka tuntut itu lebih kepada gerakan pengganas. Tuntutan yang mereka buat adalah tuntutan yang tidak wujud selepas Sabah jadi sebahagian dari Malaysia,” katanya kepada pemberita selepas menonton tayangan khas filem ‘Takluk: Lahad Datu’ bersama warga Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) di sini malam ini.

Terdahulu, Mahkamah Persekutuan mengekalkan hukuman mati ketujuh-tujuh individu termasuk anak saudara Jamalul Kiram yang mengaku dirinya Sultan Sulu kerana melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong susulan insiden pencerobohan di Lahad Datu, 11 tahun lepas.

Mereka ialah Datu Amirbahar Hushin Kiram, 60, Atik Hussin Abu Bakar, 52, Basad H. Manuel, 49, Virgilio Nemar Patulada, 59, Al Wazir Osman, 68, Tani Lahad Dahi, 70, dan Julham Rashid, 75.

Sembilan anggota pasukan keselamatan telah gugur sebagai wira negara dalam insiden itu yang berlaku antara 12 Feb hingga 10 April 2013.

Pada 26 Julai 2016, Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu menjatuhkan hukuman penjara sepanjang hayat ke atas mereka selepas didapati bersalah mengikut Seksyen 121 Kanun Keseksaan.

Bagaimanapun, Azalina enggan mengulas ketika ditanya mengenai perkembangan isu dalang atau 'penderhaka' dalam kalangan rakyat Malaysia yang menyokong serta membantu kumpulan Sulu membuat tuntutan ke atas Sabah.

“Kita selesaikan yang di mahkamah antarabangsa (Mahkamah Agung Perancis) dahulu. Insya-Allah selepas semua ini selesai, kita akan nyatakan,” katanya.

Pada 24 Jun lepas, beliau berkata kerajaan sedang mengenal pasti dalang dan penderhaka terbabit selepas pihaknya mendapat maklumat bahawa mereka adalah penggerak serta pemberi maklumat kepada kumpulan Sulu.

--  BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan