AM

Permohonan Program Sijil, Diploma Politeknik Dan Kolej Komuniti Dibuka Hingga 4 Nov

05/10/2024 09:46 AM

PUTRAJAYA, 5 Okt (Bernama) -- Permohonan kemasukan pelajar bagi sesi II 2024/2025 ke program sijil dan diploma di 36 politeknik dan 103 kolej komuniti telah dibuka bermula semalam sehingga 5 petang, 4 Nov ini, menurut Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK).

JPPKK dalam kenyataan hari ini memaklumkan semua permohonan melalui e-Borang MyPolyCC boleh dibuat di pautan http://ambilan.mypolycc.edu.my.

“Permohonan dibuka kepada pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), lulusan Sijil Politeknik, Sijil Kolej Komuniti dan lulusan Sijil Vokasional Malaysia (Kolej Vokasional).

“Ia turut dibuka kepada lulusan sijil Institut Kemahiran Tinggi PERDA (Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang), lulusan sijil Institut Kemahiran MARA, lulusan sijil Institut Pertanian Malaysia dan Lepasan Sijil Kemahiran Malaysia (Tahap 3),” menurut JPPKK.

JPPKK memberitahu permohonan itu juga dibuka kepada murid yang tamat pengajian tingkatan lima di sekolah pendidikan khas bagi kemasukan ke 13 program Sijil Khas Kemahiran untuk murid orang kurang upaya (OKU) yang ditawarkan di lima politeknik dan 12 kolej komuniti. 

“Pelawaan ini terhad kepada kumpulan murid kategori masalah pendengaran dan pembelajaran sahaja,” menurut JPPKK sambil menambah pemilik sijil APEL (Pengakreditan Pembelajaran Berasaskan Pengalaman Terdahulu) turut dipelawa memohon.

Menurut JPPKK, sebanyak 12,000 tempat disediakan dalam pelbagai bidang pengajian bagi sesi berkenaan dan tarikh pendaftaran pelajar baharu adalah pada 6 Jan 2025.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan