SHAH ALAM, 5 Okt (Bernama) -- Kerajaan Selangor memandang serius sikap tidak cakna atau mengambil mudah terhadap keperluan pensijilan halal dalam kalangan usahawan di negeri itu, kata Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari.
Beliau berkata berdasarkan data yang diperoleh, didapati majoriti daripada syarikat yang mendapat Sijil Pengesahan Halal Malaysia ialah syarikat yang dimiliki oleh peniaga atau usahawan bukan Melayu dan bukan Islam.
Beliau berkata walaupun dengan pelbagai alasan, sikap itu hanya akan merugikan usahawan itu sendiri, khususnya dalam konteks untuk membawa produk mereka ke peringkat lebih tinggi.
“Untuk perkenal produk tempatan ke tahap lebih tinggi, kita perlu fahami konteks pasaran serta bagaimana untuk lepasi prosedur tertentu seperti pensijilan halal yang dipandang tinggi secara global.
Tapi amat malang sebab ramai pengusaha kita yang ambil sikap acuh tak acuh dengan pensijilan halal produk atau perniagaan mereka kerana berpandangan, jika yang usahakan itu orang Melayu, Islam, maka mereka secara terus dapat memikat pembeli,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Ekspo Usahawan Selangor (SELBIZ) 2024 anjuran Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) di sini hari ini.
Hadir sama Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan negeri Mohd Najwan Halimi dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Korporat) PKNS Suhaimi Kasdon.
Amirudin berkata andaian sedemikian tidak akan memberi kelebihan kepada usahawan berkenaan kerana pada peringkat antarabangsa, pelanggan tidak dapat “melihat wajah” mereka, sebaliknya kecenderungan untuk membeli bergantung pada status halal produk terbabit.
“ … dan apatah lagi jika pensijilan halal itu dikeluarkan oleh pihak berautoriti yang dikenali serta diiktiraf dunia seperti Sijil Pengesahan Halal Malaysia yang diperakui Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM),” katanya.
Bercakap pada sidang media selepas itu, Amirudin berkata soal yang melibatkan kos serta kemahuan dikenal pasti menjadi antara faktor usahawan tidak mengambil serius tentang pensijilan halal.
Beliau berkata kos atau soal pentadbiran sepatutnya tidak lagi menjadi isu kerana JAKIM serta badan berkuasa berkaitan telah menambah baik aspek itu, antaranya dengan memperkenalkan kaedah permohonan secara dalam talian, selain tempoh kelulusan sijil atau maklum balas turut dipendekkan.
Dari aspek kemahuan, Amirudin berkata perkara itu boleh ditangani sekiranya usahawan diberikan lebih pencerahan khususnya berkaitan pembaharuan yang dilakukan dalam proses permohonan, tempoh kelulusan dan pemberian sijil yang dianggap panjang, rumit serta merenyahkan.
“Perkara ini antara punca usahawan enggan terlibat dalam pensijilan halal kerana pada fahaman mereka ia melibatkan proses kerja yang banyak, teliti serta data mengenai sumber kepada produk yang dihasilkan terlalu terperinci.
“Tetapi usahawan juga kena faham, jika pihak berautoriti tak sampai ke tahap itu, pensijilan halal kita jadi agak rapuh dan atas sebab ketelitian itulah pensijilan halal negara sangat dipandang tinggi oleh dunia dan pasaran perniagaan,” katanya.
Amirudin berkata kerajaan negeri melalui agensi pembangunan usahawan seperti PKNS akan terus memberikan latihan bagi menyediakan usahawan ke arah ready-to-halal, selain memberikan peringatan dan kesedaran berterusan mengenai keperluan dan kepentingan memiliki pensijilan halal.
Mengenai SELBIZ, beliau berkata ekspo selama tiga hari hingga esok itu menyasarkan transaksi jualan hingga RM3 juta melalui penglibatan 230 pempamer yang menawarkan pelbagai produk meliputi pembuatan, peruncitan dan perkhidmatan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial