AM

AKPK Perkenal "GROW" Sempena Bulan Literasi Kewangan

05/10/2024 07:14 PM

KUALA LUMPUR, 5 Okt (Bernama) -- Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) menerusi Bulan Literasi Kewangan (FLM) memperkenalkan empat siri penerbitan tahun ini dikenali sebagai GROW, bertujuan memberikan panduan kewangan kepada individu bermula dari pengajian tinggi hingga persaraan.

AKPK dalam kenyataan memaklumkan siri GROW berkenaan mengandungi empat buku iaitu Gaining Knowledge, Realising Potential, Optimising Resources dan Wealth Wisdom

Gaining Knowledge memperkasakan pelajar pengajian tinggi dengan pengetahuan tentang simpanan, belanjawan, nilai bersih dan skor kredit yang sihat manakala Realising Potential pula membimbing pekerja muda mengurus pinjaman dan kad kredit, membina dana kecemasan dan mempelajari asas pelaburan,” menurut kenyataan itu. 

Sementara itu, Optimising Resources membimbing keluarga untuk memaksimumkan sumber kewangan demi masa depan terjamin dan mampan melalui instrumen perlindungan dan pelaburan yang betul manakala Wealth Wisdom panduan kepada bakal pesara tentang cara merancang persaraan, mengurus harta pusaka dan mengoptimumkan simpanan Kumpulan Wang Simpanan Malaysia (KWSP).

Menurut AKPK GROW adalah sumber rujukan berharga dan lengkap untuk perjalanan kewangan individu sepanjang kehidupan, dengan aplikasi prinsip dan strategi dalam siri itu mampu menyumbang kesejahteraan ekonomi masyarakat secara keseluruhan.

Sementara itu, sempena FLM AKPK bersama Bank Negara Malaysia dan KWSP sebagai ahli Jaringan Pendidikan Kewangan (FEN) telah menganjurkan Simposium Literasi Kewangan Kebangsaan 2024 (NFLS 2024) selama dua hari bermula 2 Okt lepas di Sasana Kijang, di sini. 

“Simposium tersebut merupakan acara tahunan yang menyediakan platform untuk wacana penting dalam mempromosikan literasi dan keterangkuman kewangan,” menurut kenyataan itu. 

FLM dirasmikan Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan pada 1 Okt lepas, dengan inisiatif itu mengutamakan literasi kewangan sebagai elemen teras di bawah Strategi Kebangsaan untuk Literasi Kewangan 2019-2023.

Menurut AKPK strategi itu bertujuan membina tabiat kewangan yang bertanggungjawab, meningkatkan perancangan kewangan dan membina daya tahan kewangan dalam kalangan rakyat.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan