AM

KPKT Komited Perkasa Belia Dalam Perumahan Dan Pembangunan Bandar

06/10/2024 03:36 PM

GEORGE TOWN, 6 Okt (Bernama) -- Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) komited memperkasakan belia sebagai pemimpin, inovator dan pembuat keputusan dalam pembangunan perumahan dan bandar, kata menterinya Nga Kor Ming.

Dalam ucapan sempena Hari Habitat Sedunia Peringkat Kebangsaan 2024, beliau berkata kementerian mengiktiraf potensi belia sebagai nadi membentuk bandar masa hadapan selaras dengan tema sambutan iaitu 'Engaging Youth to Create a Better Urban Future' yang menggalakkan golongan muda  terlibat secara aktif dalam mencorakkan bandar dan komuniti yang mereka diami.

"Hari ini, kita mengiktiraf bahawa suara belia bukan sahaja perlu didengar malah perlu dikuatkan. Bandar raya kita memerlukan inovasi, kreativiti dan tenaga golongan muda.

"Kita memerlukan idea baharu daripada anda untuk menangani beberapa cabaran urbanisasi seperti perumahan mampu milik, kelestarian, kecekapan pengangkutan awam dan ruang inklusif untuk semua," katanya dalam ucapannya di Taman Armenian di sini hari ini.

Nga kerajaan memahami ramai golongan muda sukar untuk merealisasikan impian mereka untuk memiliki rumah.

Sehubungan itu, KPKT memperkenalkan inisiatif perumahan mampu milik, khusus untuk golongan muda termasuk Program Perumahan PR1MA dan Skim Sewa untuk Miliki bagi memudahkan akses pemilikan rumah kepada pembeli kali pertama terutama golongan profesional muda.

Beliau berkata kementerian juga mencadangkan skim Deposit MADANI dalam Bajet 2025 untuk memastikan semua rakyat terutamanya belia berusia 21 hingga 40 tahun mempunyai akses kepada perumahan yang selamat dan mampu milik.

"Di bawah inisiatif ini, kerajaan akan menawarkan deposit hingga RM30,000 untuk rumah berharga RM500,000 ke bawah sekali gus mengurangkan beban kewangan pembeli muda, membantu mendapatkan pinjaman serta merealisasikan impian memiliki rumah," katanya.

Sementara itu, menteri menggalakkan semua 156 pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk menunjukkan komitmen dengan menyertai National Scroll of Honour for Human Settlement yang seterusnya, bertujuan mewujudkan penyelesaian bandar lestari.

Pada tahun ini, KPKT menerima 42 pencalonan, tertinggi setakat ini yang dinilai berdasarkan amalan terbaik, inisiatif dan penyelesaian inovatif yang menyumbang kepada pencapaian Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) bersempena Hari Habitat Sedunia 2024.

Walaupun Malaysia mencapai 43 peratus daripada kesemua 248 indikator SDG terkini jauh melebihi purata dunia iaitu 17 peratus, Nga berkata masih terdapat ruang penambahbaikan terutama dalam aspek seperti pengurusan sisa pepejal,daya tahan perubahan iklim, perancangan bandar lestari dan lain-lain.

Penduduk bandar telah melebihi 75 peratus dan dijangka mencapai 85 peratus menjelang 2050 maka penting untuk memastikan pembangunan kawasan bandar secara lestari.

Pada cara itu, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) memenangi tempat pertama untuk 'National Scroll of Honour for Human Settlement 2024' diikuti Majlis Perbandaran Sepang di tempat kedua.

'National Scroll of Honour for Human Settlement' sehingga kini telah mengiktiraf lebih 50 inisiatif kerajaan tempatan, komuniti, individu dan pertubuhan.

Perhimpunan Belia juga diadakan bersempena Forum Bandar Malaysia 2024 (MUF) untuk mengumpul maklum balas daripada golongan muda dan hasilnya telah dibentangkan pada sambutan Hari Habitat Sedunia di sini.

MUF 2024 yang bermula semalam dan berlangsung hingga 8 Okt telah menarik penyertaan 8,000 peserta tempatan dan antarabangsa.

Acara ini menampilkan pelbagai sesi dialog, perbincangan dan pembentangan kertas kerja oleh panel dari pelbagai kementerian dan agensi kerajaan, pihak berkuasa tempatan, pakar industri, badan profesional, pertubuhan bukan kerajaan dan wakil penduduk. 

MUF tahun hadapan akan berlangsung di Kuala Lumpur bertepatan dengan Malaysia selaku Pengerusi ASEAN 2025.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan