DUNIA

'Masa Untuk Hentikan Penderitaan', Ketua PBB Rayu Keamanan Menjelang Setahun Konflik Gaza

06/10/2024 05:28 PM

WASHINGTON, 6 Okt (Bernama-Anadolu) -- Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Antonio Guterres membuat rayuan pada Sabtu untuk keamanan menjelang ulang tahun pertama konflik di Gaza minggu depan, lapor Agensi Anadolu (AA).

"Tanggal 7 Oktober secara semula jadi adalah hari untuk memberi tumpuan kepada peristiwa pada hari yang mengerikan itu. Saya menyatakan solidariti saya kepada semua mangsa dan orang tersayang mereka," kata Guterres dalam mesej video.

Beliau berkata serangan pada hari itu telah "mencederakan jiwa" dan beliau mengingati semua yang terkorban dan mengalami "keganasan yang tidak terungkap."

Ketua PBB menyatakan bahawa gelombang keganasan dan pertumpahan darah yang mengejutkan telah tercetus sejak 7 Oktober lepas.

"Konflik yang berlaku selepas serangan dahsyat setahun lalu terus memusnahkan nyawa dan menimbulkan penderitaan manusia yang mendalam bagi rakyat Palestin di Gaza, dan kini rakyat Lubnan.

"Sudah tiba masanya untuk membebaskan tawanan. Masa untuk mendiamkan senjata. Masa untuk menghentikan penderitaan yang melanda rantau ini. Masa untuk keamanan, undang-undang antarabangsa dan keadilan," katanya.

Beliau juga menyeru penyelesaian berkekalan terhadap konflik itu agar Israel, Palestin dan semua negara lain di rantau ini hidup dengan aman, bermaruah dan menghormati antara satu sama lain.

Mengingkari resolusi Majlis Keselamatan PBB yang menyeru gencatan senjata segera, Israel terus melakukan serangan tanpa henti ke atas Gaza.

Lebih 41,800 mangsa telah terbunuh, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak dalam tempoh setahun yang lalu dan hampir 97,000 yang lain cedera, menurut pihak berkuasa kesihatan tempatan.

-- BERNAMA-ANADOLU

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan