AM

'Mowgli Malaysia' Buka Bengkel Motosikal

08/10/2024 09:46 AM

KUALA TERENGGANU, 8 Okt (Bernama) -- Muhammad Syukur Khamis, 19, yang mendapat julukan Mowgli Malaysia mula berjinak dalam bidang automotif dengan mengusahakan bengkel motosikal di Kampung Banggol Katong, di sini.

Muhammad Syukur juga dikenali ‘budak kerbau’ berkata bengkel berkenaan diusahakan bersama abangnya Muhammad Alias Khamis, 34, pada Jun lepas, setelah menamatkan kursus selama enam bulan dalam bidang Teknologi Motosikal di Pusat GiatMARA Kuala Telemong, Hulu Terengganu.

Beliau berkata minat terhadap motosikal berkuasa tinggi mendorongnya berkecimpung dalam bidang tersebut dengan cita-cita untuk memiliki sebuah bengkel yang canggih dan berteknologi tinggi suatu hari nanti.

"Bengkel ini sebenarnya telah dibuka empat tahun lepas. Tetapi selepas abang menjadi tenaga pengajar di GiatMARA Kuala Telemong, dia tidak sempat menguruskan bengkel kerana kekangan masa.

"Dia minta saya belajar membaiki dan ambil alih menguruskan bengkel. Bagaimanapun, dia tetap datang membantu pada waktu malam dan lebih fokus kepada motosikal berkuasa tinggi," katanya ketika ditemui di bengkelnya di sini.

Muhammad Syukur berkata walaupun sibuk menguruskan bengkel, beliau tetap membantu bapanya, Khamis Jusoh, 68, menguruskan ternakan termasuk kerbau, kambing dan lembu.

Menurutnya, haiwan ternakan tersebut merupakan kawan baik dan hatinya tidak tenang sekiranya tidak dapat meluangkan masa bersama mereka.

"Sebelum memulakan kerja di bengkel, saya akan pastikan semua ternakan diberi makan. Begitu juga selepas selesai kerja pada waktu petang.

"Saya akui aktiviti bersama mereka (haiwan ternakan) agak terbatas berbanding dahulu, namun saya cuba mencari masa sesuai kerana ia adalah sumber ketenangan diri," katanya yang memiliki 80 ekor kerbau, 30 kambing dan tiga lembu. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan