AM

MOT Terima 243 Permohonan Program Peralihan Lesen Kelas B

08/10/2024 03:01 PM

KLUANG, 8 Okt (Bernama) -- Kementerian Pengangkutan (MOT) telah menerima sebanyak 243 permohonan bagi pendaftaran Program Khas Peralihan Lesen Memandu Malaysia (LMM) kelas B1 dan B2 kepada kelas B (motosikal berkuasa tinggi) sejak ia dimulakan 1 Okt lepas.

Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Hasbi Habibollah berkata pihaknya menjangkakan jumlah pendaftaran bagi program khas itu akan terus meningkat dari semasa ke semasa. 

Beliau berkata pemegang LMM kelas B1 dan B2 boleh mengemukakan permohonan dan pendaftaran di institut memandu yang telah disenaraikan oleh JPJ.

"Mengikut rekod, sehingga kini seramai 3.33 juta daripada 9.32 pemegang LMM kelas B1 dan B2 layak mendaftarkan diri di 139 institut memandu," katanya kepada pemberita selepas Program Komuniti Selamat di Jalan Raya di Felda Ulu Belitong di sini hari ini. 

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Johor Mohamad Fazli Mohamad Salleh dan Ketua Pengarah JPJ Datuk Aedy Fadly Ramli.

Pada Rabu lepas, Menteri Pengangkutan Anthony Loke dilapor berkata syarat program khas berkenaan yang bermula 1 Okt tahun ini dilonggarkan serta-merta ekoran keluhan orang ramai yang tidak layak menyertainya.

Bagaimanapun, Aedy Fadly pada Jumaat lepas dilapor berkata orang ramai dinasihat agar menyemak dan menyelesaikan saman tertunggak JPJ dan polis terlebih dahulu bagi melayakkan mereka menyertai program khas itu meskipun kelonggaran syarat telah diberikan.

Sementara itu, Hasbi berkata mengikut Jabatan Kerja Raya (JKR) Jalan Kota Tinggi-Kluang di Seksyen 4.3 di sini dikenal pasti sebagai lokasi berisiko tinggi berlaku kemalangan jalan raya.

Beliau berkata menurut data yang dikongsikan oleh Pejabat FELDA Ulu Belitong, seramai 104 peneroka telah terlibat dalam kemalangan jalan raya di kawasan terbabit antara tahun 2022 hingga 2023.

"Melihat angka ini, jelas bahawa penekanan terhadap keselamatan jalan raya perlu dipertingkatkan dalam kalangan komuniti setempat di samping mendidik pengguna agar mengamalkan sikap pemanduan berhemah dan mematuhi undang-undang jalan raya," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan